Ada dua versi laporan libat nama Jho Low: Saksi

Najib (tengah) meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas perbicaraan berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB pada Khamis. - Foto Bernama
Najib (tengah) meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas perbicaraan berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Pelaburan Terengganu Investment Authority (TIA) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, terdapat dua versi laporan 'Minutes of the Special Meeting of The Board of 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berbeza membabitkan nama Low Taek Jho.

Kelvin Tan Kay Jin berkata demikian ketika prosiding kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Ketika membaca pernyataan saksi, Kelvin berkata, satu versi terdapat nama Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low manakala satu lagi versi tanpa nama ahli perniagaan buruan tersebut.

Saksi kelapan pendakwaan itu berkata, beliau tidak pernah melihat versi laporan tanpa nama Jho Low sehingga ia ditunjukkan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, perbezaan berkenaan adalah membabitkan senarai nama dalam minit mesyuarat bertarikh 26 September 2009 di ruangan ‘By Invitation’, iaitu terdapat satu penama Casey Tang Keng Chee sedangkan nama Jho Low sepatutnya dinyatakan sekali.

“Saya yang sediakan dokumen minit mesyuarat berserta nama Jho Low, atas arahan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang.

“Saya sendiri menghadiri mesyuarat ini bagi mengambil minit mesyuarat namun saya tiada pengetahuan bagaimana isi kandungan ini dipinda,” katanya.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, Kelvin berkata, Jho Low tidak mempunyai sebarang peranan atau jawatan dalam 1MDB yang membolehkan beliau hadir pada mesyuarat tersebut.

Artikel Berkaitan:

Semasa mesyuarat berlangsung beliau berkata, Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin ada bertanya mengenai peranan dan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat tersebut.

Muhammad Shafee: Mesti ahli lembaga pengarah yang lain terkejut dengan kehadiran Jho Low.

Kelvin: Saya tak tahu perasaan mereka ketika itu tapi saya sendiri terkejut sebab saya juga tertanya-tanya apa peranan Jho Low dalam mesyuarat ini.

Muhammad Shafee: Jho Low mesti ada cakap sesuatu dalam mesyuarat, jika tak kenapa dia datang?

Kelvin: Saya cuma ingat, dia beri telefon kepada Pengerusi 1MDB, Datuk Mohd Bakke Salleh dan beliau kelihatan terkejut sebab ia adalah Perdana Menteri.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustapa P Kunyalam, Kelvin yang juga seorang konsultan berkata, Perdana Menteri yang dimaksudkan itu ialah Najib.

Turut memberi kenyataan dalam prosiding hari ini ialah saksi kesembilan, bekas Timbalan Setiausaha Kabinet, Tan Sri Mazidah Abdul Majid.

Mengikut pertuduhan Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 9 September depan.