Jho Low: Muka beruang kini dah jadi tahanan rumah

Jho Low
Jho Low
A
A
A

MERAK Jalanan hairan mengapa susah sangat pihak berkuasa negara mahupun Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low. Sedangkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah sekian lama dibicara di mahkamah.

Bahkan, sejak negara bertukar empat Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14, anak kelahiran Pulau Pinang itu masih gagal diberkas walaupun pelbagai janji diberikan setiap kali kerajaan berubah.

Merak Jalanan masih ingat laporan berita pada Oktober 2018 yang mendedahkan Notis Merah oleh Interpol terhadap Jho Low tidak dipamer di laman sesawang umum badan penguat kuasa itu kerana wujud arahan supaya mereka tidak berbuat begitu.

Pada November 2019 pula, kecoh satu negara selepas Ketua Polis Negara pada ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan pelbagai alasan yang tidak dapat diterima akal diberikan oleh pihak berkuasa negara yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian Jho Low.

Antaranya, Jho Low sudah membuat pembedahan wajah dan menyerupai beruang serta berjalan seperti seladang. Disebabkan itu, sukar untuk pihak berkuasa memberkasnya walaupun Mahkamah Sesyen Putrajaya telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low pada 24 Ogos 2018.

Semalam, kecoh Jho Low kini dipercayai berada dalam tahanan rumah di Shanghai, China, menurut pengarang bersama buku Billion Dollar Whale, Bradley Hope.

Bak kata kawan Merak Jalanan, jika dakwaan itu benar, bermakna pihak negara yang melindungi Jho Low sudah dapat mengesan ‘beruang’ yang berjalan seperti seladang.

Tambah kawan Merak Jalanan, sudah tiba masa Malaysia atau Interpol menghantar pekerja zoo atau pakar haiwan untuk menjinakkan Jho Low supaya mudah membawanya pulang.