Sabah terima 200,000 dos vaksin CanSino minggu hadapan

Hajiji (tiga dari kanan) menyempurnakan majlis Pelancaran Pemasangan Connectmenow Vsat iaitu salah satu lawatan kerjanya di Kudat.
Hajiji (tiga dari kanan) menyempurnakan majlis Pelancaran Pemasangan Connectmenow Vsat iaitu salah satu lawatan kerjanya di Kudat.
A
A
A

KUDAT - Kerajaan negeri Sabah akan menerima bekalan pertama vaksin Covid-19 jenis dos tunggal CanSino sebanyak 200,000 dos pada minggu hadapan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini.

"Kita telah merayu dan meminta beliau (Khairy) supaya membekalkan juga dos tunggal ke Sabah iaitu CanSino dan Insya-ALLAH dalam masa terdekat ini, kita akan mendapat bekalan pertama iaitu sebanyak 200,000 dos CanSino yang akan dibekalkan ke Sabah.

"Walaupun sebenarnya kita minta melalui Pengarah Kesihatan sebanyak 1.8 juta dos tetapi bekalan pertama akan sampai minggu hadapan sebanyak 200,000 dos," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerjanya di Kudat pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau yang juga bimbang dengan peningkatan kes di negeri ini berkata, kerajaan negeri berusaha sedaya upaya mendapatkan vaksin untuk semua rakyat Sabah.

"Kita dapat melawan Covid-19 dengan mendapatkan vaksin seberapa banyak untuk rakyat dan kita juga kena memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan sepanjang masa.

"Jaga kebersihan dan kalau boleh rakyat jangan mengadakan upacara keramaian atau apa saja acara yang boleh mengumpul ramai orang seperti kenduri dan sebagainya.

"Dengan cara ini, kita akan dapat melandaikan atau mengurangkan jangkitan Covid-19 di Sabah kerana kita bimbang sejak seminggu dua ini peningkatan begitu ketara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hajiji dalam pada itu turut memaklumkan bahawa aktiviti rentas daerah masih tidak dibenarkan di Sabah.

"Walaupun kita ada sekatan jalan raya dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan kampung-kampung tetapi keadaan masih lagi (ada jangkitan).

"Jadi harapan kita supaya rakyat lebih berdisiplin dan mengikuti SOP yang ditetapkan. Sekarang ini kita masih mengadakan sekatan jalan kerana rentas daerah tidak benarkan," katanya.