GBMRM desak keabsahan Muhyiddin ditentukan segera

Mustafa (kanan) selepas menyerahkan memorandum rakyat Malaysia kepada wakil pihak istana di luar Pintu 3 Istana Negara pada Rabu.
Mustafa (kanan) selepas menyerahkan memorandum rakyat Malaysia kepada wakil pihak istana di luar Pintu 3 Istana Negara pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri dengan segera.

Ketuanya, Mustafa Mansor berkata, Muhyiddin kini dipercayai sudah tidak lagi mendapat sokongan di Parlimen selepas beberapa media melaporkan pihak pembangkang sudah berjaya mengumpulkan sebanyak 120 surat akuan bersumpah (SD) yang menarik sokongan terhadap beliau.

"Setakat ini kita lihat di media, pihak pembangkang sudah berjaya mengumpul lebih daripada 120 SD yang bermaksud Perikatan Nasional (PN) sudah hilang majoriti.

"Maka mana-mana kerajaan hilang majoriti, mestilah mengundurkan diri secara terhormat dan harus menghormati demokrasi berparlimen dan sistem Raja Berperlembagaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menyerahkan memorandum rakyat Malaysia kepada wakil pihak istana di luar Pintu 3 Istana Negara pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, dalam memorandum tersebut pihaknya juga menuntut agar kerajaan PN segera membuka Parlimen.

Sehubungan itu, beliau memohon agar Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu memberi pertimbangan sewajarnya kepada permintaan memorandum berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk mengibarkan bendera putih dan bendera hitam sekiranya Parlimen masih belum dibuka sehingga 13 Ogos ini.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, tindakan tersebut sebagai menunjukkan tanda protes rakyat terhadap kerajaan.

"Kami bagi tempoh sehingga 13 Ogos ini. Kalau sehingga tarikh ini masih tidak buka Parlimen, kami akan minta rakyat seluruh Malaysia bermula 14 Ogos untuk angkat bendera putih dan bendera hitam sebagai tanda protes.

"Putih bermakna kita ingin Malaysia bersih, manakala warna hitam bermaksud sebagai tanda lawan," katanya.