Ejen pemerdagangan manusia tawar polis rasuah RM2,500 ditahan

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang lelaki kerana kesalahan memberi rasuah kepada anggota polis.

SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, hasil siasatan mendapati suspek memberi wang rasuah sebanyak RM2,500 kepada seorang anggota polis sewaktu membuat sekatan jalan 'snap check' di susur Lebuhraya EDL menghala ke Jalan Bakar Batu.

"Suspek ditahan kerana dilihat mencurigakan dan semasa pemeriksaan badan dilakukan suspek memberikan wang rasuah tersebut sebagai dorongan tidak mengambil tindakan tangkapan ke atas beliau yang disyaki menjadi ejen aktiviti pemerdagangan manusia.

"Suspek merupakan seorang lelaki berusia 20 tahun telah ditahan kira-kira jam 1 petang Rabu di Pejabat SPRM Johor di sini bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan," jelas kenyataan itu pada Rabu.

Menurut SPRM, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Artikel Berkaitan: