'Siasatan terhadap MP pembangkang hanya buang masa'

Guan Eng (kanan) ditemani peguamnya, Rayer ketika hadir ke IPD Timur Laut bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan yang diadakan pada minggu lalu.
Guan Eng (kanan) ditemani peguamnya, Rayer ketika hadir ke IPD Timur Laut bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan yang diadakan pada minggu lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan siasatan polis terhadap ahli Parlimen pembangkang yang dihalang masuk ke bangunan Parlimen minggu lalu sebagai membuang masa dan membazirkan tenaga pihak berkuasa yang sepatutnya menjaga keamanan rakyat.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, tindakan bermotifkan politik itu adalah usaha menekan ahli-ahli Parlimen daripada menjalankan tugas.

Guan Eng
Guan Eng

Menurutnya, polis seharusnya menjawab mengapa mereka menghalang ahli Parlimen daripada menjalankan tugas dan ia jelas menafikan hak dan keistimewaan ahli Parlimen seperti yang termaktub dalam undang-undang serta Perlembagaan negara.

"Dalam suasana politik sekarang ini adalah satu usaha untuk menekan ahli-ahli Parlimen daripada menjalankan tugas kami dan mungkin untuk mempengaruhi kami bagi melakukan sesuatu, tapi saya rasa ini tidak akan berjaya.

"Semua ahli Parlimen yang dipanggil kita rasa seperti kita dihina kerana sebagai ahli Parlimen yang ingin menjalankan tugas kerana sudah pasti kami akan mengikut segala undang-undang," katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini pada Rabu.

Beliau yang hadir untuk memberi keterangan kepada pihak polis turut ditemani peguam, RSN Rayer.

Pada Selasa, polis turut mengambil keterangan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong dan Rayer (Ahli Parlimen Jelutong) berhubung siasatan kes sama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Guan Eng berkata, siasatan polis terhadap ahli Parlimen pembangkang itu juga melanggar usul yang telah diluluskan di Parlimen tahun lalu berikutan sidang Parlimen masih belum ditangguhkan secara rasmi.

Beliau berkata, usul terbabit yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung perintah yang mengarahkan Ketua Polis Negara untuk memastikan semua ahli Parlimen dapat ke Dewan Rakyat tanpa sebarang halangan.

“Sidang ini masih belum ditangguhkan secara rasmi, jadi semua usul yang dipersetujui pada tahun lalu masih berkuat kuasa.

“Tapi nampaknya apa yang berlaku adalah kami dihalang, polis perlu jawab mengapa menghalang ahli Parlimen menjalankan tugas untuk masuk ke pejabat,” katanya.

Pada 2 Ogos lalu, ahli Parlimen pembangkang berarak beramai-ramai menuju ke Parlimen sambil membawa sepanduk meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri kabinet meletakkan jawatan.

Protes itu susulan keputusan menunda sidang Parlimen.