Jumlah kenderaan dijangka bertambah

Barudin (kiri) memantau penugasan anggota di SJR Jalan Ipoh - Lumut berhampiran Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Barudin (kiri) memantau penugasan anggota di SJR Jalan Ipoh - Lumut berhampiran Universiti Teknologi Petronas (UTP).
A
A
A

PARIT - Polis menjangkakan jumlah kenderaan melalui tiga sekatan jalan raya (SJR) sekitar Daerah Perak Tengah akan meningkat susulan kelonggaran membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, Perak Tengah menjadi laluan utama kepada penduduk untuk ke daerah berhampiran seperti Kinta, Manjung, Hilir Perak dan Kuala Kangsar.

"Tiada pergerakan kenderaan yang luar biasa berlaku di setiap SJR namun, kita menjangkakan mungkin berlaku pertambahan kenderaan untuk mereka merentas daerah ini.

"Penugasan anggota tetap berjalan seperti biasa termasuk tambahan satu SJR yang ditempatkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Pasir Salak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Selasa.

Beliau bagaimanapun menasihatkan masyarakat agar tidak menggunakan kelonggaran itu untuk keluar tanpa tujuan.

"Jangan kita alpa untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan dalam usaha menghentikan rantaian wabak Covid-19.

"Tanggungjawab ini perlu dipikul bersama dalam memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dijayakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Barudin berkata, seramai empat anggotanya disahkan positif Covid-19 manakala 31 lagi menjalani kuarantin sejak Ahad lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua anggota termasuk 51 ahli keluarga yang menjadi kontak rapat kini diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

"Kelab Polis sentiasa membantu menjaga kebajikan anggota dan ahli keluarga dengan menyerahkan bakul makanan," katanya.