Lengang walaupun dah ada kelonggaran

Gambar dari kiri: Suasana di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan yang lengang ketika tinjauan Sinar Harian pada Selasa, suasana di Pantai Sepat, Kuantan yang lengang tanpa kelibat pengunjung, gambar bawah: Pantai Batu Hitam
Gambar dari kiri: Suasana di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan yang lengang ketika tinjauan Sinar Harian pada Selasa, suasana di Pantai Sepat, Kuantan yang lengang tanpa kelibat pengunjung, gambar bawah: Pantai Batu Hitam
A
A
A

KUANTAN - Beberapa pantai peranginan di daerah ini lengang tanpa pengunjung biarpun kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri bagi individu yang sudah menerima vaksin lengkap bermula Selasa.

Tinjauan Sinar Harian di tiga pantai popular di negeri ini iaitu Pantai Batu Hitam, Pantai Teluk Chempedak dan Pantai Sepat di sini mendapati tiada kelihatan pengunjung.

Di Pantai Teluk Chempedak, walaupun terdapat pengunjung, namun bukan dalam kalangan pelancong, sebaliknya masyarakat setempat yang datang membeli makanan di restoran makanan segera yang beroperasi di situ.

Situasi itu berlaku mungkin masih timbul kebimbangan orang ramai untuk keluar melancong berikutan perkembangan kes jangkitan Covid-19 semakin membimbangkan selain berlaku penularan varian Delta.

Pada masa sama,masih terlalu awal untuk golongan yang telah menerima vaksin lengkap bercuti ke lokasi pelancongan di negeri ini.

Selain itu, ia juga mungkin disebabkan bilangan mereka yang menerima vaksin lengkap di negeri ini masih rendah dan belum mencapai sasaran 40 peratus.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya sedia maklum berhubung keistimewaan yang diberikan kepada golongan yang menerima vaksin lengkap itu.

Bagaimanapun, katanya, golongan tersebut tidak boleh bebas sesuka hati sebaliknya perlu mematuhi syarat dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Polis akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan hanya mereka yang layak sahaja berbuat demikian.

"Kita juga mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil kesempatan dengan menipu atau mengemukakan bukti palsu bagi tujuan itu," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Mohamad Noor berkata, polis akan melakukan pemeriksaan melalui sekatan jalan raya (SJR) dan di pusat peranginan itu bagi memastikan segala syarat kelonggaran itu dipatuhi.

"Tindakan penguatkuasaan dilakukan bukan untuk mencari kesalahan sesiapa, sebaliknya bertujuan memastikan semua yang dibenarkan untuk melancong akur dengan peraturan ditetapkan" jelas beliau.

Pada Isnin, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, tiga lokasi tarikan pelancongan iaitu Bukit Fraser, Pulau Tioman dan Janda baik bakal dibuka pada penghujung bulan ini.

Keputusan itu mengambil kira bilangan penduduk di kawasan terbabit sudah mencapai 80 peratus imuniti kelompok termasuk dalam kalangan penggiat pelancongan.

Katanya, kerajaan negeri sedang merangka kaedah sesuai bagi mengawal kemasukan jumlah pelancong bagi mengelak berlaku jangkitan Covid-19 sehingga wujud kluster baharu.