Pejuang, Warisan sah hantar surat akuan tolak Muhyiddin kepada Agong

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) mengesahkan bahawa kedua-dua parti tersebut telah menghantar surat akuan menolak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong pada Isnin.

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin memaklumkan surat akuan menolak Muhyiddin daripada kesemua ahli Parlimen parti itu telah dihantar kepada Seri Paduka Baginda pada petang semalam.

“Pejuang pun hantar (surat akuan) juga tapi hantar berasingan. Ia adalah surat akuan yang mengatakan kami tidak sokong Muhyiddin,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Wira Warisan yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman turut mengesahkan mengenai surat tersebut.

“Warisan juga mengesahkan perkara ini, sudah ditandatangani (surat) dan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Isnin yang mengulas mengenai laporan berita mengenai isu tersebut.

Pada Isnin, media melaporkan mengenai tindakan pembangkang yang difahamkan telah mengutuskan surat akuan menolak Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut sumber dalaman blok pembangkang, surat akuan tersebut merangkumi kesemua 105 ahli Parlimen daripada Pejuang, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Warisan, Parti Sarawak Bersatu, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Dr Maszlee Malik (Bebas).

Mengesahkan mengenai perkara tersebut dalam laporan berasingan ialah Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memaklumkan bahawa parti komponen gabungan tersebut masing-masing telah menghantar surat akuan berkenaan kepada Tuanku.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, portal UMNO Online pada Isnin turut mendedahkan 13 surat akuan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin oleh ahli Parlimen parti tersebut yang telah dipersembahkan kepada Tuanku dalam warkah yang diutuskan pada 4 Ogos lalu.