Polis Kelantan beri amaran, jangan tunjuk sijil vaksin palsu

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (kanan) menandatangani plak sempena Program Bulan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 di di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pandang Mandol, Tumpat, pada Isnin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat (kanan) menandatangani plak sempena Program Bulan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 di di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pandang Mandol, Tumpat, pada Isnin.
A
A
A

TUMPAT - Polis mengingatkan rakyat di Kelantan tidak menyalahgunakan kelonggaran syarat prosedur operasi standard (SOP) rentas negeri dan daerah dengan mengemukakan sijil vaksin palsu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pemeriksaan sijil vaksin ke atas orang ramai akan dilakukan di kedai makan dan di sekatan jalan raya (SJR) bermula esok (Selasa).

"Rakyat di Kelantan boleh bersiap sedia dengan menunjukkan Sijil Vaksinasi Covid-19 secara digital menerusi MySejahtera dalam telefon bimbit atau bercetak.

"Harap tidak ada sesiapa ambil kesempatan mengemukakan dokumen atau sijil vaksinasi palsu kerana polis mempunyai kaedah nak selidik. Pada masa sama perincian penguatkuasaan masih dibincangkan di peringkat tertinggi dengan kaedah lain yang akan diputuskan kemudian," katanya kepada pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pandang Mandol, di sini, pada Isnin.

Beliau sebelum itu melancarkan Program Bulan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 serta agihan bakul makanan kepada 10 penduduk terjejas akibat Covid-19.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Azahar Ismail dan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud.

Shafien dengan tegas meminta supaya rakyat terus mematuhi SOP walaupun diberikan kelonggaran terhadap penerima yang lengkap suntikan dua dos vaksin Covid-19.

“Paling penting patuhi SOP digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana kes Covid-19 masih pada tahap membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

“Penugasan anggota akan ditumpukan kepada pematuhan SOP di kedai makan dan di SJR selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 14 lokaliti di negeri ini ditamatkan,” katanya.

Pada Ahad, kerajaan bersetuju memberikan kemudahan sektor sosial kepada individu sudah divaksin lengkap serta menetap di negeri Fasa 2 dan ke atas di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa esok (Selasa).