Virus Nipah: Kelantan perketat saringan di 3 pintu sempadan, lapangan terbang

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) melaksanakan saringan kesihatan ke atas pelancong dan individu yang memasuki negeri ini melalui tiga pintu sempadan negara serta lapangan terbang sebagai langkah berjaga-jaga susulan kes virus Nipah di India.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, pasukan kesihatan ditempatkan di semua pintu masuk utama di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dengan petugas menjalankan saringan ke atas individu yang melalui sempadan, khususnya dari India.
“Saringan ini bermula sejak diumumkan oleh kementerian kira-kira seminggu lalu.
“Secara keseluruhan, seramai 120 petugas kesihatan terlibat dan bertugas secara syif,” katanya selepas melancarkan Program Sihat Itu Saya di Padang Perdana, di sini, pada Ahad.
Jumaat lalu, kes jangkitan virus Nipah dikesan di West Bengal, India termasuk dalam kalangan petugas kesihatan di sebuah hospital swasta dengan lebih 100 individu ditempatkan di bawah kuarantin.
Beliau menjelaskan, petugas ditempatkan di ICQS Rantau Panjang di Pasir Mas, Bukit Bunga di Tanah Merah dan Pengkalan Kubor di Tumpat serta Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bagi melakukan saringan sepanjang waktu operasi pintu masuk.
“Kami menggunakan imbasan suhu secara terma dan bagi individu dari negara selain jiran terdekat, kami turut menjalankan temu bual serta saringan lebih terperinci.
“Saringan dilakukan sepanjang waktu pintu masuk dibuka dan setakat ini belum ada sebarang kes dikesan,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini tiada kes virus Nipah dikesan di negara ini, khususnya di Kelantan, namun langkah pencegahan awal diambil bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit itu ke dalam negara.
Beliau berkata, virus Nipah boleh menyebabkan gejala seperti demam dan batuk sebelum menyerang organ tertentu, terutama otak, sekali gus berisiko membawa maut sekiranya tidak dikesan dan dirawat lebih awal.
Mengulas saringan di lapangan terbang, Dr Mohd Azman berkata, saringan awal ke atas pelancong antarabangsa dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun JKNK tetap bersiap siaga sekiranya terdapat penerbangan antarabangsa terus atau transit melalui negara lain seperti Singapura.
“Di lapangan terbang negeri ini juga, pasukan kami sentiasa bersedia untuk menjalankan saringan sekiranya perlu,” katanya.
Ringkasan AI
- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan melaksanakan saringan kesihatan ke atas pelancong dan individu yang memasuki negeri melalui pintu sempadan dan lapangan terbang susulan kes virus Nipah di India
- Saringan dilakukan pada semua pintu masuk utama dengan seramai 120 petugas kesihatan yang bertugas secara syif
- Kes jangkitan virus Nipah dikesan di West Bengal, India, termasuk dalam kalangan petugas kesihatan dengan lebih 100 individu ditempatkan di bawah kuarantin
- Petugas kesihatan di Kelantan menggunakan imbasan suhu secara terma dan menjalankan temu bual serta saringan lebih terperinci bagi individu dari negara selain jiran terdekat
- Setakat ini tiada kes virus Nipah dikesan di Kelantan, langkah pencegahan awal diambil untuk mengelakkan penularan penyakit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

