KKM sedia pertimbang vaksin secara 'walk in' kepada ibu mengandung

Noor Azmi pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke PPV Dewan Merdeka Lenggong pada Isnin.
Noor Azmi pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke PPV Dewan Merdeka Lenggong pada Isnin.
A
A
A

LENGGONG - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia pertimbang cadangan agar golongan ibu mengandung dibenarkan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara terus atau 'walk in'.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, inisiatif itu boleh membantu golongan wanita yang dikenal pasti usia kandungannya antara 14 sehingga 33 minggu diberikan suntikan secepat mungkin bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Buat masa ini belum ada pengumuman khusus untuk itu (walk in) kerana ketetapan yang kerajaan buat sekarang adalah untuk golongan 60 tahun ke atas dan berisiko.

"Kalau ada untuk ibu mengandung, ia satu cadangan yang baik untuk dibawa ke peringkat atasan kerana kita tahu, ibu mengandung juga antara golongan berisiko untuk dijangkiti wabak Covid-19," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Merdeka Lenggong di sini pada Isnin.

Beliau berkata, di bawah penyelarasan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA), ramai golongan ibu mengandung telah pun dipanggil untuk janji temu vaksinasi lebih awal berbanding daftar MySejahtera.

Noor Azmi menunjukkan jarum suntikan vaksin Covid-19 kepada Mohd Zamri Abdul Aziz, 45, yang menerima suntikan dos pertama di PPV Dewan Merdeka Lenggong pada Isnin.
Noor Azmi menunjukkan jarum suntikan vaksin Covid-19 kepada Mohd Zamri Abdul Aziz, 45, yang menerima suntikan dos pertama di PPV Dewan Merdeka Lenggong pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Katanya, di daerah Hulu Perak contohnya, hampir 400 ibu mengandung yang dikenal pasti dan layak menerima vaksin telah dipanggil menerima suntikan vaksinasi secara 'walk in' di PPV berdekatan.

"Ibu mengandung ini biasanya kena lapor pada KKIA jadi dari situ kita boleh tahu berapa minggu kandungan dan suntikan boleh diberikan berdasarkan maklumat itu.

"Jadi garis panduan yang disyorkan daripada pakar-pakar itu sudah ada, cuma belum diumum di seluruh negara.

"Cuma bila ada kejadian tidak diingini dan menyedihkan berlaku (membabitkan ibu mengandung), maka cadangan (suntikan vaksin secara walk) ini adalah baik supaya pelaksanaannya lebih proaktif," katanya.

Pada Jun lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan lebih banyak janji temu untuk suntikan vaksin akan diberikan kepada ibu mengandung mengikut keutamaan berdasarkan jangkaan tarikh bersalin (EDD).

Inisiatif itu diharap dapat menyumbang secara positif kepada kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mencapai tahap imuniti kelompok sesegera mungkin.