Jualan ekuiti tempatan pelabur asing berkurangan

Pelabur asing telah melupuskan sebanyak RM451.1 juta bersih ekuiti tempatan minggu lalu berbanding RM579.6 juta bersih yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.
Pelabur asing telah melupuskan sebanyak RM451.1 juta bersih ekuiti tempatan minggu lalu berbanding RM579.6 juta bersih yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelabur asing telah melupuskan sebanyak RM451.1 juta bersih ekuiti tempatan minggu lalu berbanding RM579.6 juta bersih yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pelabur asing memulakan urus niaga minggu lepas dengan menjual RM82.9 juta bersih ekuiti tempatan pada hari Isnin berikutan kebimbangan terhadap penularan varian Delta yang sangat 'mengganggu' mereka.

"Rentak penjualan bersih asing meningkat pada hari Selasa dengan dana antarabangsa menjual sebanyak RM118 juta bersih ekuiti tempatan kerana tidak ada tanda-tanda jumlah kes Covid-19 harian di Malaysia akan berkurangan walaupun kadar pemberian vaksin amat menggalakkan yang berjumlah sekitar 500,000 suntikan secara purata setiap hari," katanya.

Pelabur luar pesisir terus melupuskan pegangan masing-masing pada hari Rabu tetapi pada momentum yang jauh lebih perlahan iaitu RM79.6 juta bersih meskipun kes Covid-19 dalam negara masih tinggi.

Adam berkata, aliran keluar bersih asing semakin perlahan pada hari Khamis kepada RM36.8 juta bersih.

“Malah, indeks FBM KLCI pulih 0.3 peratus kepada 1.495.8 mata.

"Sekiranya dilihat dengan teliti, FBM KLCI sebenarnya telah mengetepikan trend serantau kerana kebanyakan rakan bursa serantau di di Asia seperti Thailand, Korea Selatan dan Filipina mencatatkan kerugian susulan kenyataan kurang menggalakkan oleh Federal Reserve AS yang menyatakan ia mungkin mengurangkan program pembelian aset tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata, kenaikan harian terus dicatatkan walaupun kes Covid-19 mencapai tahap tertinggi pada hari Khamis, didorong oleh kegiatan membeli saham murah oleh para pelabur.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, aktiviti penjualan bersih asing melonjak kepada RM133.8 juta bersih pada Jumaat berikutan kebimbangan mengenai varian Delta yang mungkin mengganggu prospek pemulihan ekonomi, sekali gus menjejaskan sentimen pelabur pada hari berkenaan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kes Covid-19 global telah melebihi 200 juta kes.

"Lebih-lebih lagi, China telah menguatkuasakan kawalan pergerakan untuk mengekang penyebaran varian Delta, termasuk pembatalan penerbangan dan perkhidmatan kereta api," katanya.

Di dalam negara pula, katanya jumlah kes harian Covid-19 telah mencatatkan satu lagi rekod tertinggi iaitu 20,889 kes pada hari Jumaat.

Berdasarkan sejak awal tahun sehingga kini, pelabur asing telah menjual RM6 bilion bersih ekuiti tempatan berbanding RM19.7 bilion bersih yang dilupuskan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Pada Ahad, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial yang telah lama dinanti-nantikan.

"Justeru, berita seumpama itu sedikit sebanyak dapat memberikan sentimen yang baik kepada pasaran tempatan yang telah menurun sejak kebelakangan ini, terutamanya disebabkan oleh peningkatan kes Covid-19 dalam negara," katanya. - Bernama