Kos urus jenazah pesakit Covid-19 melampau, aniaya keluarga: NGO

Bayaran pengurusan jenazah sebahagian pesakit Covid-19 di negeri ini iaitu antara RM1,300 hingga RM1,800 disifatkan melampau, sehingga menekan keluarga golongan kurang berkemampuan. Gambar hiasan
Bayaran pengurusan jenazah sebahagian pesakit Covid-19 di negeri ini iaitu antara RM1,300 hingga RM1,800 disifatkan melampau, sehingga menekan keluarga golongan kurang berkemampuan. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU -Bayaran pengurusan jenazah sebahagian pesakit Covid-19 di negeri ini iaitu antara RM1,300 hingga RM1,800 disifatkan melampau, sehingga menekan keluarga golongan kurang berkemampuan.

Bayaran itu pula bukan kos keseluruhan sehingga pengebumian, sebaliknya hanya membabitkan urusan memandikan jenazah menggunakan kaedah tayamum sebelum dikafankan sahaja.

Keadaan itu memaksa keluarga yang tidak mampu memohon bantuan badan amal atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Itu yang didedahkan sebuah NGO, Tengku Harith Team Ventures yang terlibat dalam kerja-kerja amal mengurus dan mengebumikan jenazah pesakit Covid-19 di Kelantan.

Pengasasnya, Tengku Harith Tengku Abdul Azis, mendakwa caj yang dikenakan oleh pihak yang terbabit dalam pengurusan jenazah itu di hampir semua hospital di Kelantan mencecah antara RM1,300 hingga RM1,800.

"Caj berkenaan terlalu tinggi dan membebankan sedangkan harga debu tayamum tidak sampai RM10 setiap pek, yang boleh digunakan untuk proses tayamum enam jenazah," dakwanya ketika ditemui Awani.

Beliau dan pasukannya yang sudah menguruskan lebih 50 jenazah pesakit Covid-19 mendakwa, pernah mengajukan isu mengenai caj yang tinggi itu kepada pihak pengurusan hospital sebelum ini.

"Rata-rata rata pengurusan hospital terkejut mendengar aduan yang saya kemukakan dan bertanyakan kepada unit forensik masing masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Malangnya, dakwanya unit forensik pula menyalahkan pihak pengurus jenazah yang dikatakan dilantik dan dipilih oleh pengurusan unit forensik itu sendiri.

Dakwanya, pengurus jenazah juga pernah diajukan soalan itu namun tidak mengaku mengenakan bayaran sedemikian.

"Saya panjangkan perkara berkenaan kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan terkejut apabila Maik memaklumkan pihaknya menetapkan kadar harga RM200 sahaja bagi kos tayamum.

"Jadi timbul persoalan, siapa yang menetapkan harga setinggi RM1,800 untuk tayamum (pengurusan jenazah)... pihak forensik atau tukang mandi jenazah (pengurus jenazah) yang dipilih oleh pengurusan forensik?," soalnya.

Beliau juga mendakwa, caj yang dikenakan terhadap keluarga itu tidak disertakan resit atau butiran terperinci.

Mengulas lanjut, katanya bukan sahaja kos pengurusan mayat atau tayamum yang perlu dijelaskan oleh keluarga, sebaliknya kos lain juga.

Antaranya, termasuk kain kapan melebihi RM100, keranda antara RM200 hingga RM300 dan upah gali liang lahad (RM250-300).

Menurut Tengku Harith yang juga Pengerusi Amalvalley Organization Kelantan, pihaknya bersama beberapa gabungan NGO menyediakan bantuan pengurusan dan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 secara percuma.

"Ahli keluarga atau waris cuma perlu membayar kos keranda sahaja iaitu RM200 jika mampu.

Jika sebaliknya kita akan berikan secara percuma.

Kos yang lain termasuk tayamum, kafan, solat jenazah, kenderaan jenazah dan sebagainya adalah percuma," katanya.

Katanya, mereka bekerjasama dengan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), JNZA Gaung Global dan Jawatankuasa Surau PPR Kota Bharu.

Sementara itu, Setiausaha Maik, Mohd Rasani Ramli, ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan daripada NGO berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, susulan aduan itu Mei lepas, Maik telah mengadakan pertemuan dan mesyuarat bersama pengurusan hospital di seluruh Kelantan.

"Hasilnya Maik telah menetapkan kadar RM200 bagi kos tayamum dan menggariskan harga pengurusan jenazah bagi negeri Kelantan yang perlu diikuti oleh semua imam masjid, pihak pengurusan jenazah dan sebagainya" katanya kepada Awani.

Awani akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Jabatan Kesihatan Negeri termasuk sama ada pihak pengurus jenazah yang dilantik mematuhi arahan Maik. - Sumber Awani