Kuiz Pelaburan PNB 2021, tawar hadiah bernilai RM68,500

Sejak pertama kali dimulakan pada 2001, Kuiz Pelaburan PNB telah menarik hampir 800,000 peserta.- Gambar hiasan
Sejak pertama kali dimulakan pada 2001, Kuiz Pelaburan PNB telah menarik hampir 800,000 peserta.- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peraduan tahunan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kuiz Pelaburan PNB 2021, akan berlangsung mulai 9 Ogos ini dengan tawaran hadiah bernilai sehingga RM68,500.

Kuiz yang bersifat pendidikan itu akan menguji peserta dalam kategori Remaja dan Awam mengenai konsep utama pelaburan serta perancangan kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), Mohammad Hussin berkata, pertandingan itu yang bertemakan 'Mencapai Kemerdekaan Kewangan' diadakan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan, yang akan menguji pengetahuan peserta berkaitan pelaburan dan pengurusan kewangan.

"Soalan tahun ini berbeza dengan tahun sebelumnya, malah lebih mencabar kerana peserta hanya diberi petunjuk untuk menjawabnya. Tidak ada lagi pertanyaan pelbagai pilihan dengan a, b atau c,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kategori Remaja terbuka untuk mereka yang berusia 13 hingga 17 tahun akan berlangsung dari 9 hingga 22 Ogos 2021, manakala Kategori Awam, yang berumur 18 tahun ke atas, akan berlangsung dari 16 hingga 31 Ogos ini.

Mohammad berkata, sebelum ini, para peserta Kuiz Pelaburan PNB akan bersemuka di pentas.

“Namun, sejak tahun lepas, kuiz ini telah dianjurkan sepenuhnya dalam talian sesuai dengan norma baharu berikutan wabak Covid-19,” tambahnya.

Penyertaan melalui kaedah dalam talian ini memberi peluang kepada penglibatan yang lebih luas daripada orang ramai, yang mana, sejumlah 173,980 penyertaan diterima pada 2020, peningkatan 120 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Sejak pertama kali dimulakan pada 2001, Kuiz Pelaburan PNB telah menarik hampir 800,000 peserta.

Kuiz ini merupakan salah satu usaha berterusan ASNB dan PNB di bawah tonggak Literasi Kewangan bagi menyampaikan pengetahuan pelaburan serta kewangan kepada orang ramai. - Bernama