Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang beroperasi mulai Ogos ini

Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang akan beroperasi sepenuhnya pada Ogos tahun ini.
Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang akan beroperasi sepenuhnya pada Ogos tahun ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Pembukaan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang di Jalan Magazine, di sini memberi sinar kepada gelandangan di negeri ini apabila mereka kini mempunyai tempat berlindung sementara yang selesa dan dilengkapi kemudahan asas.

Osman Abdullah, 49, dari Air Itam berkata, dengan adanya pusat transit tersebut, ia sekurang-kurangnya boleh dijadikan tempat tinggal sementara sebelum dia mampu untuk menyewa sendiri.

Menurutnya, dia sebatang kara selepas dibuang keluarga kerana memeluk agama Islam sejak beberapa tahun lalu.

"Saya ada keluarga tetapi mereka buang saya, mereka tidak boleh terima saya kerana saya masuk Islam. Saya kini tiada tempat tinggal, merayau saja selepas habis kerja. Selepas ini, saya boleh tinggal di sini sementara mampu menyewa sendiri.

"Saya kini bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kolej swasta di bandar ini dengan gaji RM1,200 sebulan. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana berusaha buat transit ini untuk kami (gelandangan) yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, Rosnah Abdullah, 56, dari Kuching, Sarawak berkata, dia merantau ke sini selepas ditinggalkan suaminya beberapa tahun lalu.

"Saya datang ke sini sejak tiga tahun lalu dan hanya menumpang bilik rakan di sini. Saya kerja tak tetap, jika ada kedai makan yang perlu pekerja, saya pergi lah.

"Saya ada keluarga tetapi mereka pun ada tanggungjawab sendiri. Saya tak mahu menyusahkan mereka, jadi saya ke sini untuk meneruskan hidup, lagi pun saya tiada anak," katanya.

Rosnah dan Osman ditemui ketika Majlis Perasmian Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada Jumaat.

Kon Yeow berkata, Pusat Transit Gelandangan yang menelan belanja RM4.4 juta itu didirikan di atas tanah seluas 1,370 meter persegi.

Menurutnya, peruntukan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Pulau Pinang bagi merealisasikan pusat transit gelandangan pertama di negeri ini yang akan beroperasi sepenuhnya pada Ogos ini.

"Pusat Transit Gelandangan ini telah melibatkan pemuliharaan dan pemeliharaan satu unit dua tingkat bangunan warisan kategori 2 dan pembinaan bangunan baru tiga tingkat di bahagian belakang. Ia didirikan di atas tanah milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Kon Yeow (duduk) ketika mengadakan lawatan selepas merasmikan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang pada Jumaat.
Kon Yeow (duduk) ketika mengadakan lawatan selepas merasmikan Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang pada Jumaat.

"Bangunan ini dilengkapi dengan kemudahan penginapan transit yang boleh memuatkan 88 orang gelandangan. Pusat ini juga turut menyediakan ruang untuk aktiviti warga emas, ruang kitar semula, dobi, kafe dan pusat komuniti yang bukan sahaja mesra warga emas malah juga dapat menampung keperluan orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Kon Yeow berkata, selain itu, pusat tersebut dilengkapi dengan sebuah pejabat, rang bengkel atau seminar, ruang asrama lelaki dengan 60 katil dan ruang wanita dengan 18 katil.

"Pusat ini juga turut dijadikan sebagai stesen kitar semula bagi membolehkan golongan ini menjana pendapatan kelak. Selaras dengan Visi Penang 2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, pusat ini dibina berdasarkan konsep 'triple net zero' iaitu 'zero waste', 'zero energy' dan 'zero water' yang mematuhi ciri-ciri bangunan hijau (GBI) berstatus platinum.

"Antara aspek yang diberi perhatian adalah penggunaan solar panel untuk penjanaan tenaga elektrik, pemasangan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) untuk menjimatkan penggunaan air bersih dan pemasangan sistem Grey Water Harvesting untuk penyiraman pokok bunga," katanya.

Kata beliau, pusat transit itu akan diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang dengan tujuh kakitangan yang dipertanggungjawabkan.

"Gelandangan hanya boleh tinggal di sini paling lama 14 hari sementara siasatan dijalankan. Kerajaan negeri melalui JKM Pulau Pinang yang bertindak sebagai operator dalam mengendalikan pengoperasian pusat ini akan terus memantau dan melakukan intervensi yang bersesuaian agar golongan ini dapat diselamatkan, berdikari dan kembali berintegrasi kepada masyarakat.

"Pihak JKM juga akan bekerjasama dengan Mutiara Foodbank dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan serta individu perseorangan bagi menyelaras dan memastikan aktiviti agihan makanan menjadi lebih teratur dan tiada pembaziran serta lambakan makanan," katanya.

Kon Yeow menambah, kerajaan negeri memandang serius berkaitan pengurusan golongan gelandangan kerana ia bukan sahaja melibatkan masalah sosial dan kebaikan rakyat malah membawa kesan dan impak negatif kepada imej sektor pelancongan di negeri ini.

"Walaupun kita sedar mungkin kewujudan pusat ini tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya, tetapi kerajaan negeri percaya inisiatif dan usaha ini mampu menjadi langkah penting dan titik tolak dalam menangani masalah gelandangan yang sering dikaitkan dengan isu kebersihan, keselamatan dan masalah sosial yang berleluasa di negeri ini.

"Di bawah program Empowering The Street Citizen, aspirasi pusat ini bukan hanya sekadar penempatan sementara yang memberikan kemudahan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, tetapi turut memfokuskan kepada aspek keupayaan golongan gelandangan menerusi latihan kemahiran mengikut minat dan kebolehan masing-masing," katanya.