Modul PKJR bentuk masyarakat peka, waspada di jalan raya

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook bersama Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik melancar Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) bagi Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook bersama Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik melancar Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) bagi Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) Semakan Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan hari ini adalah untuk membentuk masyarakat yang peka dan berwaspada di jalan raya sejak di bangku sekolah.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, PKJR dilaksanakan pada 2007 sebelum semakan modul dibuat Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) di bawah Kementerian Pengangkutan pada 2016 yang turut melibatkan guru-guru serta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Beliau berkata, Modul PKJR Semakan Sekolah Rendah itu selari dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan diajar di semua sekolah rendah secara penyerapan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) subjek Bahasa Melayu sekurang-kurangnya dua jam sebulan, mulai Januari tahun ini.

"Modul tersebut amat bertepatan untuk mendidik anak-anak agar sayangkan nyawa, berhati-hati dan peka terhadap keselamatan diri sendiri," katanya pada pelancaran modul itu di sini hari ini.

Pada majlis itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyerahkan modul PKJR itu kepada Maszlee.

Menurut Maszlee, kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia menunjukkan terdapat perubahan tingkah laku murid pada sikap terhadap keselamatan jalan raya hasil daripada pelaksanaan PKJR.

Anthony dalam ucapannya berkata modul PKJR Semakan Sekolah Rendah itu ditambah baik dari segi kandungan pembelajaran, ilustrasi grafik, teks yang disesuaikan dengan tahap murid sekolah dan pengenalan kepada pembelajaran interaktif melalui bahan bantu mengajar seperti video, audio dan animasi.

Menurut Anthony, sebagai persediaan pelaksanaan modul itu, kira-kira 15,000 guru Bahasa Melayu sekolah rendah di seluruh negara telah dibimbing mengenai kaedah penyerapan Modul PKJR Semakan Sekolah Rendah pada tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Adalah diharapkan PKJR ini juga dilanjutkan pelaksanaannya ke peringkat taska dan prasekolah pada 2020," katanya.

Anthony turut mencadangkan kursus enam jam yang perlu dilalui oleh mereka yang ingin mendapatkan lesen memandu, diserapkan ke dalam PdP di peringkat menengah atas khususnya bagi pelajar-pelajar tingkatan empat.

"Dengan ada penyerapan sebegini, saya rasa para pelajar itu tidak lagi perlu menduduki modul ceramah wajib enam jam itu sebelum ambil lesen. Ini satu cara inovatif untuk membuat golongan muda menghayati dan memberi fokus kepada panduan keselamatan jalan raya," katanya.- Bernama