KPKT bantu percepat suntikan vaksin untuk peniaga kecil, peruncit

Zuraida (kiri) beramah mesra dengan orang ramai semasa turun padang meninjau operasi Movak Statik di Pusat Pemberian Vaksin Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Kota Bharu pada Ahad.
Zuraida (kiri) beramah mesra dengan orang ramai semasa turun padang meninjau operasi Movak Statik di Pusat Pemberian Vaksin Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil inisiatif dengan mempercepatkan program vaksinasi Covid-19 dalam kalangan peniaga kecil dan peruncit bagi memastikan golongan berkenaan dapat kembali menjana pendapatan.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, proses vaksinasi itu sudah pun digerakkan sekali gus meningkatkan lagi imuniti kelompok dalam kalangan golongan berkenaan.

"Apabila kerajaan sudah membenarkan semua sektor ekonomi kembali beroperasi, secara tidak langsung golongan ini dapat kembali bernafas (mencari rezeki).

"Ini merupakan perancangan jangka panjang untuk membantu menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), sebab itulah KPKT mengambil inisiatif dengan mewujudkan Program Koordinasi Sukarelawan Komuniti (Movak Statik)," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang turun padang meninjau operasi Movak Statik di Pusat Pemberian Vaksin Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, di sini.

Menurutnya, kerajaan sentiasa serius dalam membela nasib peniaga-peniaga kecil dan peruncit bagi memastikan mereka terus 'gagah' dalam melawan pandemik Covid-19 ketika ini.

Mengulas mengenai Movak Statik, Zuraida berkata, ia merupakan inisiatif bersama KPKT dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam membantu meningkatkan jumlah kehadiran orang ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di seluruh Semenanjung Malaysia.

Katanya, Movak Statik merangkumi empat komponen iaitu unit panggilan, mobilisasi, jangkauan komuniti dan bergerak.

Artikel Berkaitan:

"Movak Statik ini dilaksanakan dengan kerjasama Penggerak Komuniti Negara (PKN), sukarelawan Komuniti Rukun Tetangga (KRT), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi dan pertubuhan dalam memastikan PICK terus ditingkatkan," katanya.