14 lokaliti di Sabah, Pahang dikenakan PKPD

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 14 lokaliti di Sabah dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada 9 Ogos hingga 22 Ogos ini.

Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, PKPD di Sabah melibatkan Taman Perumahan di Semarak,Tawau iaitu di Taman Semarak Indah, Taman Semarak Jaya, Flat Sri Semarak dan Taman Sejati.

Menurut beliau, dua lagi lokaliti lain membabitkan kawasan Penampang iaitu di Kampung Koidupan dan Kampung Guunsing-Novunsu manakala tiga lagi di Kampung Marau, Sipitang; Kampung Baru Kimanis Papar dan Kampung Tanjong Kapor, Kudat.

“Selain itu, PKPD di Pahang pula melibatkan dua lokaliti di Maran iaitu Felda Jengka 18 dan Kampung Paya Besar Kertau. Manakala tiga lagi di Kampung Orang Asli Sungai Bot, Karak, Bentong; Felda Sungai Panching Selatan, Kuantan dan Jalan Feri Lama, Teluk Gading, Rompin.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di 10 lokaliti di Perak, Pahang, Kedah dan Sabah.

Tambah beliau, lokaliti di Perak merangkumi kawasan Medan Klebang Restu, Mukim Chemor, Kinta, manakala di Pahang melibatkan Blok 5, Felda Keratong 7, Muadzam Shah, Rompin.

Artikel Berkaitan:

“Lokaliti di Kedah yang ditamatkan PKPD pula adalah di Asrama Pekerja dan Tapak Bina Hospital Pendang, Pendang.

“Bagi Sabah, dua lokaliti di kawasan Beaufort yang terlibat adalah Kampung Lajau dan Kampung Kota Klias.

“Selain itu, lima lokaliti lain membabitkan Kampung Tungkang, Kudat; Perumahan Ladang Kim Loong, Beluran; Kampung Telisai, Tungku, Lahad Datu; Taman Jaya Diri, Kota Kinabalu dan Kampung Pituru Kinarut, Papar,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1,754 kilang, 16,826 premis perniagaan, 773 tapak pembinaan dan 277 asrama penempatan pekerja telah diperiksa pada Jumaat.

Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 112 premis diarahkan tutup serta-merta berikutan gagal mematuhi SOP.

“Selain itu, seramai 261 individu dikompaun dan 21 lagi direman kerana ingkar SOP,” katanya.