Gagal seludup jambu batu dari Thailand

Lori yang ditahan Maqis Kedah kerana membawa masuk buah jambu batu yang tidak mempunyai sijil Perakuan Pematuhan (CoC). - Foto Maqis Kedah
Lori yang ditahan Maqis Kedah kerana membawa masuk buah jambu batu yang tidak mempunyai sijil Perakuan Pematuhan (CoC). - Foto Maqis Kedah
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah menahan sebuah lori yang membawa buah jambu batu dari Thailand di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Rabu.

Maqis Kedah berkata, lori yang membawa 174 kilogram buah jambu batu itu cuba dibawa masuk ke Malaysia namun tidak mempunyai sijil Perakuan Pematuhan (CoC).

Menurutnya, kesemua muatan yang bernilai RM263 itu dirampas untuk tindakan lanjut.

Buah jambu batu yang dirampas ketika cuba dibawa masuk dari Thailand.- Foto Maqis Kedah
Buah jambu batu yang dirampas ketika cuba dibawa masuk dari Thailand.- Foto Maqis Kedah

"Hasil pemeriksaan rutin yang dilakukan ke atas lori berkenaan pada 6.30 petang Rabu, kita merampas buah jambu tersebut kerana mengimport tanpa sijil Perakuan Pematuhan (CoC) yang menjadi kesalahan bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, sekiranya disabitkan kesalahan, pengimport boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 11(3), akta sama.

"Akta ini diguna pakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan selain mengawal kemasukan penyakit berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara," katanya.

Artikel Berkaitan: