Peguam rugi RM259,900 ditipu individu menyamar polis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Akibat bimbang dikenakan tindakan, seorang peguam wanita rugi RM259,900 apabila ditipu Macau Scam pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, mangsa berusia 40 tahun sebelum itu dihubungi seorang lelaki yang mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau berkata, suspek mendakwa mangsa mempunyai sebuah syarikat di Melaka dan mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM32,000.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa menafikan dakwaan suspek. Bagaimanapun, panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lagi lelaki yang mengaku anggota polis berpangkat sarjan.

"Suspek kedua itu memberitahu bahawa selain mempunyai tunggakan cukai, mangsa juga mempunyai kes jenayah melibatkan dadah," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, panggilan tersebut sekali lagi disambung kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner.

"Suspek meyakinkan mangsa kononnya dia boleh membantu mangsa, namun perlu memenuhi syarat yang diberikan iaitu membuat beberapa pemindahan wang.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa yang mempunyai pejabat guaman sendiri di Bukit Mertajam terus mengikut arahan suspek dengan melakukan pemindahan wang secara berperingkat berjumlah RM259,900 ke tiga akaun berbeza.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, selepas itu dia gagal menghubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis tersebut," ujarnya.

Katanya, mangsa mula menyedari dirinya terperangkap dengan sindiket Macau Scam, lalu membuat laporan polis spada Khamis.

"Semakan ke atas tiga nombor akaun yang digunakan suspek dipercayai milik keldai akaun. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan.

"Sehingga kini, kita belum menerima sebarang laporan berhubung tiga nombor akaun berkenaan.

"Semakan pada nombor telefon yang digunakan sindiket pula, ia bersangkut dengan tiga laporan di Dato' Keramat, Bukit Mertajam dan Nilai, Negeri Sembilan," jelas beliau.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.