WBF, toleransi kepada penjawat awam: Cuepacs

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan projek rintis Waktu Bekerja Flexi (WBF) yang bakal dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai satu langkah positif dan toleransi kepada penjawat awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pembaharuan yang bakal bermula 1 Mac itu membuktikan kerajaan prihatin dan memahami masalah yang mungkin dihadapi sesetengah kakitangan awam.

“Pertama sekali, Cuepacs mengalu-alukan pembaharuan yang ingin dilakukan kerajaan iaitu memperkenalkan WBF bagi menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) yang digunakan ketika ini.

“Apabila kerajaan memperkenalkan WBF ini secara tidak langsung memberi pilihan kepada pekerja yang berdepan dengan masalah ketika dalam perjalanan seperti tayar pancit atau mengalami kesesakan jalan raya yang teruk.

“Sebagai contoh penjawat awam itu sepatutnya masuk bekerja pada jam 7.30 pagi tetapi atas sebab-sebab masalah yang dilalui ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, dia lewat 30 minit. Jadi dia boleh anjak waktu balik bagi mencukupkan tempoh bekerja selama sembilan jam,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Azih lagi, inisiatif terbaharu melibatkan penjawat awam yang bekerja di kementerian dan jabatan persekutuan itu seharusnya disambut baik memandangkan ia menawarkan pilihan yang lebih fleksibel.

Semalam, JPA melalui satu pekeliling memperkenalkan projek rintis WBF akan dilaksanakan di semua kementerian dan jabatan Persekutuan di beberapa negeri bagi menggantikan WBB yang digunakan ketika ini.

Pembaharuan yang akan bermula 1 Mac itu melibatkan kementerian dan jabatan kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya manakala jabatan Persekutuan bagi negeri Perlis, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sarawak dan Sabah.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan pekeliling itu, WBF terpakai kepada semua pegawai yang mengamalkan Waktu Bekerja Pejabat di kementerian atau jabatan.

Waktu pejabat akan bermula pada jam 7.30 pagi sehingga 5.30 petang kecuali hari Khamis di Johor dan Terengganu, yang bermula jam 7.30 pagi hingga 4 petang.

Selain itu, garis panduan lain yang turut ditetapkan dalam WBF ialah bagi kementerian atau jabatan yang mempunyai perkhidmatan kaunter, ketua jabatan hendaklah memastikan perkhidmatan itu tidak terjejas dengan pelaksanaan projek rintis ini.