Teruja terima suntikan vaksin dalam bas

Rahanah Ismail, Nadiah Nabilah Baharom
Rahanah Ismail, Nadiah Nabilah Baharom
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 350 penduduk di mukim Lengkuas di sini menerima suntikan vaksin Covid-19 di dalam kemudahan bas bergerak di bawah Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) pada Khamis.

Salah seorang penerima vaksin, Nadiah Nabilah Baharom, 33, berkata, dia sebenarnya teruja untuk menaiki bas meskipun sekadar untuk menerima suntikan vaksin.

Malah, katanya, dia terasa seolah-olah sedang melancong ketika menerima suntikan vaksin dalam bas bergerak berkenaan.

"Dahulu, bas merupakan antara kenderaan yang kerap digunakan ketika bercuti, tapi saya sudah lama tidak menaiki bas sejak pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Jadi, saya rasa seronok dan terpegun apabila bas bergerak masuk ke kampung ini. Ini satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan seumur hidup," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada program MOVAK Kota Setar di pekarangan Masjid Al-Husna, Kampung Padang Hassan, mukim Lengkuas di sini pada Khamis.

Turut hadir ialah Pegawai Perpaduan Daerah Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap, Mohd Zaizulman Zainal Abidin

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Padang Hassan, Rahanah Ismail berkata, kemudahan bas MOVAK untuk suntikan vaksin dos kedua itu merupakan yang pertama di daerah Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap.

Artikel Berkaitan:

Mohd Asri Redha (kanan) meninjau proses vaksinasi di bawah program MOVAK di pekarangan Masjid Al-Husna, Kampung Padang Hassan, Alor Setar pada Khamis.
Mohd Asri Redha (kanan) meninjau proses vaksinasi di bawah program MOVAK di pekarangan Masjid Al-Husna, Kampung Padang Hassan, Alor Setar pada Khamis.

"Majoriti penduduk teruja dan seronok apabila bas bergerak masuk ke kampung itu memandangkan ia tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Menurutnya, MOVAK merupakan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melancarkan suntikan vaksin kepada masyarakat luar bandar.

Dalam perkembangan sama, Rahanah berkata, seramai 20 sukarelawan KRT Kampung Padang Hassan membantu menjayakan program MOVAK yang digerakkan kepada tiga unit iaitu Unit Tindakan Komuniti, Panggilan dan Mobilisasi.

Dalam pada itu, Pengarah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman berkata, proses vaksinasi di seluruh Kota Setar sedang rancak dilaksanakan ketika ini.

"Terbaharu, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Suka Menanti dan PPV Dewan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Anak Bukit membenarkan penduduk warga emas berusia 60 ke atas dan orang kelainan upaya (OKU) untuk 'walk-in' bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 bermula Rabu," katanya.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Kota Setar berkata, pelbagai program 'outreach' termasuk MOVAK turut dilaksanakan bagi meningkatkan suntikan dan bilangan penduduk khususnya luar bandar.

"Kita menyasarkan sebanyak 80 peratus penduduk daerah ini lengkap divaksinasi pada hujung tahun ini. Kita mempunyai vaksin mencukupi dan tiada masalah untuk melakukan proses vaksinasi," katanya.