Lima lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh

No Image Caption
A
A
A

KAJANG - Seramai lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki ditemui mati dibunuh di tepi jalan Taman Taragon Puteri Batu 9 Cheras di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kesemua suspek berusia 39 hingga 48 tahun itu ditahan dalam operasi khas pada jam 3.30 pagi Selasa.

"Motif kejadian disyaki isu hutang, kesemua suspek telah direman selama enam hari bermula Selasa hingga Ahad bagi membantu siasatan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaid berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pergaduhan melibatkan beberapa orang lelaki di lokasi kejadian pada jam 6.45 petang Isnin.

"Sebaik sahaja polis tiba di tempat kejadian, anggota mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai perubatan yang hadir," katanya.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek bersenjatakan pisau dan batu bata berdasarkan kesan kecederaan fizikal pada mangsa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel Berkaitan: