X

Kindly register in order to view this article
!

Polis akan panggil individu, ahli Parlimen terlibat himpunan

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A

KUALA LUMPUR - Individu termasuk ahli Parlimen yang terlibat dalam himpunan yang diadakan di Dataran Merdeka pada pagi Isnin akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, setakat ini, pihaknya telah menerima dua laporan polis berhubung himpunan berkenaan.

"Polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung himpunan berkenaan.

"Kami sedang mengenal pasti ahli parlimen dan peserta-peserta lain yang terlibat dalam perhimpunan berkenaan," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Isnin.

Katanya, himpunan tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta342).

"Kami akan jalankan siasatan terlebih dahulu, kemudian rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu baru kami tahu tindakan selanjutnya yang akan diambil," katanya.

Pada pagi Isnin, cubaan ahli Parlimen pembangkang berarak untuk memasuki bangunan Parlimen tidak berjaya setelah disekat oleh pihak polis.

Antara yang hadir dalam perarakan tersebut ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ahli-ahli Parlimen berkenaan mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10 pagi apabila cubaan mereka untuk memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan jam 9.30 pagi tidak berjaya.

Ia ekoran sekatan yang dilakukan oleh pihak polis di setiap laluan masuk ke Jalan Parlimen.

Selepas beberapa ahli Parlimen berucap, kumpulan itu berarak dari Dataran Merdeka sambil memegang kain rentang yang bertulis 'Mahiadin & kabinet letak jawatan'.

Pihak polis yang berkawal cuba menahan pergerakan tersebut beberapa kali namun ahli-ahli Parlimen terus mara sehingga ke bulatan Bank Negara.

Namun sepasukan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah bersiap sedia di laluan masuk Jalan Parlimen bagi menyekat pergerakan tersebut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!