X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Anwar dakwa kerajaan PN telah ditumbangkan

Anwar Ibrahim
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah ditumbangkan kerana sudah hilang majoriti.

Anwar berkata, beliau mendapat maklumat daripada parti lain bahawa mereka telah mengemukakan senarai pemimpin yang meminta keluar daripada PN.

"Hari ini kita berkumpul untuk menyatakan bahawa secara jumlah ahli Parlimen, kerajaan Mahiaddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah jatuh tumbang hari ini.

Saya mendapat maklumat daripada parti-parti lain ada mengemukakan senarai yang meminta keluar dari PN.

"Maka dengan 107 (ahli Parlimen) yang ada di sini, campur mereka, kerajaan sudah ditumbangkan," katanya semasa berucap di Dataran Merdeka di sini pada Isnin.

Beliau bersama ahli-ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka selepas cubaan untuk masuk ke bangunan Parlimen pada jam 9.30 pagi tidak berjaya berikutan sekatan polis di laluan-laluan masuk sejak awal pagi.

Kesemua ahli Parlimen yang hadir berkeras untuk hadir ke Parlimen meskipun telah dimaklumkan bahawa sidang Dewan Rakyat ditangguhkan berikutan kebimbangan terhadap penularan kes Covid-19.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkembangan itu adalah berkait soal pelanggaran hukum menggunakan kuasa membelakangi rakyat, undang-undang, Parlimen dan membelakangi istana.

Tambah beliau, belum pernah berlaku dalam sejarah pelanggaran hukum sedemikian rupa oleh Perdana Menteri dan kabinetnya.

"Penghinaan kepada institusi diraja menyebabkan kita berhimpun pada hari ini," ujar beliau.

Pada Isnin, kumpulan ahli Parlimen pembangkang turut berarak dari Daratan Merdeka menuju ke bangunan Parlimen, namun gagal melepasi sekatan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di persimpangan Jalan Parlimen dari Bulatan Dato' Onn.

Barisan ahli Parlimen berkenaan turut mengulangi desakan agar Muhyiddin dan barisan kabinet meletakkan jawatan setelah menerima teguran daripada Istana Negara pada minggu lalu.

Antara turut hadir berkumpul di Dataran Merdeka ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad ; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.

ARTIKEL BERKAITAN:Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka

ARTIKEL BERKAITAN:Cubaan berarak ke bangunan Parlimen gagal


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!