X

Kindly register in order to view this article
!

Cubaan berarak ke bangunan Parlimen gagal

Cubaan ahli Parlimen pembangkang berarak untuk memasuki bangunan Parlimen tidak berjaya setelah disekat oleh pihak polis.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Cubaan ahli Parlimen pembangkang berarak untuk memasuki bangunan Parlimen tidak berjaya setelah disekat oleh pihak polis.

Antara yang hadir dalam perarakan tersebut ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ahli-ahli Parlimen berkenaan mula berkumpul di Dataran Merdeka kira-kira jam 10 pagi apabila cubaan mereka untuk memasuki bangunan Parlimen yang dijadualkan jam 9.30 pagi tidak berjaya.

Ia ekoran sekatan yang dilakukan oleh pihak polis di setiap laluan masuk ke Jalan Parlimen.

Selepas beberapa ahli Parlimen berucap, kumpulan itu berarak dari Dataran Merdeka sambil memegang kain rentang yang bertulis 'Mahiadin & kabinet letak jawatan'.

Pihak polis yang berkawal cuba menahan pergerakan tersebut beberapa kali namun ahli-ahli Parlimen terus mara sehingga ke bulatan Bank Negara.

Namun sepasukan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah bersiap sedia di laluan masuk Jalan Parlimen bagi menyekat pergerakan tersebut.

Rundingan yang cuba dilakukan oleh Anwar bersama pihak polis juga gagal dan akhirnya ahli-ahli Parlimen mengambil keputusan untuk menghentikan perarakan yang berlangsung selama lebih sejam itu dan bersurai.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bersiap sedia di laluan masuk Jalan Parlimen bagi menyekat pergerakan tersebut.
Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bersiap sedia di laluan masuk Jalan Parlimen bagi menyekat pergerakan tersebut.

Anggota FRU yang menyekat laluan juga bersurai kira-kira jam 10.50 pagi, namun kenderaan FRU masih berada di laluan masuk sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, Guan Eng ketika berucap menegaskan, sudah sampai masanya kerajaan menyerahkan kuasa kepada Parlimen dan rakyat.

"Itulah sebabnya kita mahu ke Parlimen hari ini, bukan kerana nak buat undi tidak percaya, kita nak bincangkan masalah rakyat.

"Kita susah, kita sengsara, adakah Perdana Menteri tahu atau tidak?

Ahli Parlimen Bagan itu menambah, ada wakil rakyat yang takut untuk pergi ke Parlimen disebabkan penularan wabak Covid-19.

"Saya pun takut, walaupun sudah divaksinasi penuh.

"Tapi kita lebih takut untuk masa depan anak-anak kita. Kita lebih takut untuk mereka yang mati kerana Covid-19, untuk mereka yang hilang mata pencarian.

"Mereka mahu ekonomi dibuka semula. Itu yang kita nak bawa ke Parlimen. Tapi dihalang Perdana Menteri. Rakyat akan bangkit. Muhyiddin undurlah!" tegasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:Ahli Parlimen pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka

ARTIKEL BERKAITAN:Tidak dibenarkan masuk ke Parlimen: MP Sabah buat siaran 'live'


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!