X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki 'misteri' bertongkat di laman rumah cetus tanda tanya

Gelagat lelaki misteri yang sempat dirakam pemilik rumah sebelum mengusirnya keluar.
A
A

SUNGAI PETANI - Sebuah keluarga di Taman Cengal Jaya di sini kehairanan apabila didatangi seorang lelaki tua bertongkat muncul di pekarangan rumah mereka pada awal pagi Khamis lalu sekali gus menimbulkan tanda tanya.

K Tiyagarajan, 64, berkata, sekitar jam 6.10 pagi pada hari tersebut, dia terus memeriksa keadaan di luar rumah selepas mendengar anjing peliharaannya menyalak.

"Menerusi tingkap saya periksa luar rumah dan ternampak seorang lelaki memakai kain pelekat, bertongkat dan tidak berkasut di pekarangan rumah saya. Dia kelihatan agak pelik.

"Dua ekor anjing peliharaan saya juga tidak lagi menyalak membuatkan saya, isteri dan dua anak lelaki terkejut kerana kebiasaannya akan menyalak kepada indvidu tidak dikenali," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kisah mengenai kunjungan lelaki tua itu kemudian tular di media sosial.

Menurut Tiyagarajan, lelaki tua berkenaan memberitahu datang ke rumahnya bersama seseorang yang disebutnya sebagai 'kakak' yang sedang menunggu di luar rumah.

Tangkap layar tentang kejadian lelaki muncul di perkarangan rumah mangsa di Taman Cengal Jaya yang tular di media sosial.
Tangkap layar tentang kejadian lelaki muncul di perkarangan rumah mangsa di Taman Cengal Jaya yang tular di media sosial.

"Saya suruh dia keluar dan beritahu akan memanggil polis sekiranya dia tidak mahu beredar. Namun lelaki tersebut secara bersahaja mundar-mandir di pekarangan rumah saya.

"Saya minta dua anak lelaki mengambil gambar lelaki itu ketika kami sedang bercakap. Saya tak berani keluar dari rumah untuk mengusirnya kerana bimbang keselamatan diri. Setelah kira-kira 20 minit memintanya beredar, lelaki itu kemudian keluar dengan memanjat pagar sebelum memandu kenderaan jenis Proton Iswara merah," katanya.

Dalam pada itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran Tiyagarajan mengesan kenderaan warna merah yang disyaki digunakan lelaki sama tiba di rumah itu sekitar jam 5.20 pagi.

"Kami hairan bagaimana dia boleh memanjat pagar sedangkan pagar itu tajam. Peliknya, berdasarkan keadaan luaran lelaki itu kelihatan seperti orang tua tetapi tindakan dan tenaganya macam orang muda.

"Saya dan keluarga pula seperti terpaku melihat kehadirannya," ujar Tiyagarajan.

Bagaimanapun pemeriksaan mendapati tiada sebarang kehilangan barang berlaku di rumahnya dan dia sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu untuk langkah keselamatan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!