'Bantu semua golongan bukan mualaf semata-mata'

Zuhanis (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil penduduk kampung disertai Mohamad Razif (dua dari kanan) di Kampung Sementa, Klang pada Jumaat.
Zuhanis (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil penduduk kampung disertai Mohamad Razif (dua dari kanan) di Kampung Sementa, Klang pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) telah membantu semua golongan terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19 dan tidak terhad kepada golongan mualaf semata-mata.

Setiausaha Perkim Kapar, Mohamad Razif Ibrahim Muniandy berkata, semasa heboh isu bendera putih, pihaknya telah memberi bantuan kepada 300 pengibar bendera putih di kawasan Kapar.

"Apabila kami membuat tinjauan pengibar bendera putih, amat mengejutkan apabila mengetahui golongan T20 dan M40 seperti juruterbang pesawat komersial dan bekas CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) berada dalam keadaan yang memerlukan bantuan.

"100 keluarga memang dalam senarai sedia ada, 200 keluarga adalah orang susah baharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian 100 Kotak Makanan Misi Ummah Bantu Ummah Bantuan SOS Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di Kampung Sementa, di sini pada Jumaat.

Hadir sama ialah Setiausaha Agong Mapim, Mejar Zuhanis Zainol.

Mohamad Razif berkata, pihaknya mengagihkan sebanyak 3,000 kotak barang makanan tanpa mengira sama ada penerima dalam kalangan B40, M40 mahupun T20.

"Sebagai pertubuhan untuk membantu golongan mualaf sudah pasti golongan tersebut menjadi prioriti, namun umat Islam yang sebelum ini hidup selesa tetap dibantu kerana jika tidak memerlukan bendera putih tidak akan berkibar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Zuhanis berkata, pihaknya bekerjasama dengan NGO di seluruh negara untuk menjayakan program membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak setahun lebih yang lalu.

"Bantuan kotak makanan ini adalah sebahagian Program Peduli Ummah Mapim sejak PKP 1.0 lagi. Baru-baru kami telah mengadakan program di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu," katanya.