PKR Selangor desak tiga langkah segera bantu petani terjejas banjir

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor digesa melaksanakan tiga langkah segera bagi membantu pekebun kecil, pesawah dan pengusaha pertanian yang kehilangan sumber pendapatan akibat banjir di Kuala Selangor.
Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, langkah itu meliputi bancian kerosakan dan kerugian, penyediaan bantuan pemulihan tanaman serta kerja menaik taraf sistem saliran pertanian.
Menurutnya, bancian perlu dilaksanakan secara terperinci mengikut kampung, jenis tanaman, keluasan kawasan terjejas serta jumlah pengusaha yang kehilangan sumber pendapatan.
"Bantuan pemulihan pula perlu merangkumi peruntukan benih, baja, input pertanian, peralatan dan kos penyediaan semula tanah bagi membolehkan petani kembali mengusahakan tanaman.
"Pemulihan sistem saliran pertanian juga perlu diberi perhatian melalui kerja menaik taraf parit ladang, saluran pengairan, rumah pam dan pintu air bagi mengurangkan risiko banjir berulang," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.
Sehubungan itu, Mohd Yahya turut menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan penubuhan Tabung Pemulihan Pertanian Akibat Banjir bagi membantu golongan itu khususnya di daerah Kuala Selangor.
Beliau berkata, banjir yang melanda beberapa kawasan kampung di daerah itu bukan sahaja merosakkan kediaman dan harta benda, malah turut menjejaskan mata pencarian golongan petani.
"Tanaman yang ditenggelami air, kebun rosak serta sistem pengairan dan saliran terjejas menyebabkan petani berhadapan kerugian besar," jelas beliau.
Mohd Yahya berkata, selain kehilangan hasil tanaman, petani terpaksa mengeluarkan modal baharu untuk membersihkan kebun, membeli benih, menyediakan tanah dan memulakan semula penanaman.
"Apabila banjir surut, kerugian petani tidak semestinya berakhir, (kerana) ada yang kehilangan hasil berbulan-bulan dan terpaksa menunggu satu lagi musim tanaman untuk kembali memperoleh pendapatan.
"Saya juga mencadangkan supaya bantuan diberikan berdasarkan tahap kerosakan yang disahkan, dengan memberi perhatian khusus kepada pekebun kecil mempunyai kemampuan kewangan terhad untuk memulihkan perusahaan mereka," ujar beliau.
Menurutnya, penilaian kesan banjir tidak seharusnya terhad kepada jumlah kediaman dinaiki air atau bilangan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), sebaliknya turut mengambil kira kerugian sektor pertanian.
"Petani bukan sekadar kehilangan tanaman, (malah) mereka kehilangan hasil titik peluh, modal dan sumber rezeki keluarga.
"Kerajaan perlu memastikan bantuan pascabanjir bukan sekadar memenuhi keperluan sementara, tetapi membantu rakyat membina semula kehidupan dan sumber pendapatan mereka.
"Banjir mungkin surut, tetapi jangan biarkan nasib petani terus tenggelam (kerana) mereka memerlukan bantuan untuk bangkit semula, bukan sekadar simpati," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

