X

Kindly register in order to view this article
!

AIM lanjut tempoh moratorium hingga 31 Ogos

Gambar kecil: Lajim Ukin
A
A

KUALA LUMPUR - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membuat keputusan untuk melanjutkan lagi tempoh pembayaran balik pinjaman atau moratorium secara automatik kepada semua Sahabat AIM bermula 1 Ogos 2021 hingga 31 Ogos 2021.

Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, dengan penangguhan ini, AIM telah memberi moratorium selama 12 minggu atau tiga bulan bermula dari tarikh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuatkuasa secara penuh iaitu pada 1 Jun 2021 lalu.

Beliau berkata, ia membabitkan nilai sebanyak RM577.3 juta iaitu RM192.4 juta sebulan yang memberi manfaat kepada seramai 378,507 Sahabat AIM di seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, Sahabat AIM yang ingin membuat pembayaran balik pinjaman, masih boleh berbuat demikian dengan membuat pembayaran tanpa tunai (CMCCS atau online banking) sepanjang tempoh moratorium ini, dan pembayaran tersebut sekali gus akan diguna untuk pengurangan baki pinjaman atau pembayaran awal.

"Selain moratorium, semua Mesyuarat Pusat (MP) di seluruh negara juga ditangguh sehingga tarikh yang sama.

"AIM akan mengeluarkan pekeliling MP yang baharu untuk dilaksanakan dengan mengambil kira norma baharu bagi mengelakkan penyebaran Covid-19 serta menjaga kesejahteraan Sahabat dan kakitangan AIM," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Lajim berkata, Sahabat AIM juga boleh memohon untuk pengurangan baki pinjaman atau pembayaran awal pinjaman sekali gus ini, apabila MP dibuka semula bagi setiap pembayaran yang dibuat di sepanjang tempoh moratorium.

"Untuk Kutipan TKKS pula, bagi tempoh setengah tahun kedua 2021, ia akan dibuat apabila MP dibuka semula.

"Bagi Sahabat yang mencarum untuk setengah tahun pertama 2021, akan kekal dilindungi dan akan menerima manfaat seperti biasa jika berlaku kecelakaan atau bencana sepanjang tempoh moratorium berkuat kuasa," katanya.

Pada masa yang sama, AIM juga akan menutup operasi di semua cawangan seluruh Malaysia bagi tempoh yang sama membabitkan Pusat Latihan AIM di Taiping, Perak; di Sabah dan Sarawak, manakala bagi Pejabat Wilayah dan ibu pejabat kekal beroperasi mengikut peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Lajim berkata, keputusan ini dibuat memandangkan keadaan pandemik Covid -19 yang masih belum reda dan atas keprihatinan AIM terhadap kepayahan dan kesukaran yang dialami oleh Sahabat AIM yang terkesan teruk akibat pandemik ini.

"Selain itu, Sahabat juga diminta sentiasa berhubung dengan pegawai-pegawai Amanah di blok masing-masing untuk sebarang maklumat yang tepat selain melayari laman sesawang AIM dan Facebook rasmi AIM untuk mengikuti pelbagai kursus dan bengkel yang diadakan secara online terutamanya bagi meningkatkan pengetahuan dalam bidang pemasaran dan perniagaan yang sesuai dengan keadaan semasa," katanya.

Beliau berkata, Sahabat juga dinasihatkan mendaftar dengan mySejahtera untuk mendapatkan vaksin Covid 19 yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negara untuk kebaikan bersama.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!