Insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN

Empat kategori insentif itu beri motivasi kepada peminjam

A
A
A

Insentif pemberian diskaun yang dilakukan oleh PTPTN memberi kemudahan kepada peminjam untuk membuat bayaran balik pinjaman.
Insentif pemberian diskaun yang dilakukan oleh PTPTN memberi kemudahan kepada peminjam untuk membuat bayaran balik pinjaman.



SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak ingin lagi hanya dikenali sebagai sebuah agensi yang menyediakan dana pinjaman pendidikan dan pengutip hutang, sebaliknya turut dilihat sebagai tabung pendidikan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

PTPTN sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memainkan peranan penting dalam mendukung hasrat kerajaan demi kelestarian pendidikan tinggi dengan memastikan tidak ada pelajar yang layak memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) gagal memasuki IPT disebabkan masalah kewangan.

Sejak ditubuhkan pada 1997 hingga 30 April 2023, agensi tersebut telah membantu seramai 3.82 juta pelajar dengan jumlah pinjaman yang disalurkan sebanyak RM69.48 bilion.

Dana yang disalurkan itu diberi bagi tujuan menampung yuran pengajian serta sebahagian daripada kos sara hidup peminjam.

Justeru itu, dalam usaha mengurangkan beban peminjam untuk membayar semula baki pinjaman selepas menamatkan pengajian, kerajaan menerusi Belanjawan 2023 telah bersetuju melaksanakan dua inisiatif.

Inisiatif berkenaan meliputi pemberian diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN untuk tempoh tiga bulan bermula 1 Mac 2023 hingga 31 Mei 2023 menerusi empat kategori iaitu:

- Diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

- Diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang.

- Diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus (direct debit) mengikut jadual bayaran balik.

- Diskaun lima peratus bagi bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

Inisiatif kedua yang ditawarkan adalah pemberian penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan yang dibuat menerusi portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my bermula 1 Mac lalu.

Pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman itu terbuka kepada semua peminjam termasuk yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan dan penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP).

PTPTN dalam kenyataan menjelaskan, penyelesaian hutang pembiayaan dengan diskaun 20 peratus itu memberi penjimatan berganda kepada peminjam antaranya, penyelesaian lebih awal daripada Jadual Bayaran Balik ditetapkan memberi penjimatan kos pentadbiran/ujrah yang perlu ditanggung serta peminjam mendapat pengurangan ke atas jumlah bayaran balik yang perlu dibuat.

PTPTN sentiasa prihatin dengan beban yang ditanggung oleh peminjam dan akan berusaha membantu peminjam dengan penyediaan insentif diskaun seperti ini.

Keprihatinan kerajaan dalam pemberian diskaun ini juga seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh peminjam, terutama dalam rangka membantu semua anak muda yang terkesan dengan keadaan ekonomi masa kini.

Meringankan beban

NUR ATIQAH
NUR ATIQAH



Sementara itu bagi, Nur Atiqah Zahaba, 27, insentif diskaun yang dilaksanakan agensi berkenaan mampu meringankan beban para peminjam sekali gus membantu dalam pengurusan kewangan golongan berkenaan dengan lebih baik.

“Saya dapat diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji dan cara itu memudahkan pembayaran selain dilakukan secara konsisten.

“Saya sangat lega apabila berjaya menyelesaikan hutang pinjaman PTPTN dan ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi diri saya kerana mampu mengurus kewangan dengan baik.

“Secara tidak langsung, beban hutang pinjaman telah berkurangan dan kini saya dapat melangkah ke hadapan dengan lebih bebas dari segi kewangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Nur Atiqah turut meluahkan rasa syukur susulan keprihatinan kerajaan terhadap beban yang ditanggung golongan itu terutama mereka yang menanggung hutang ketika melanjutkan pengajian.

“Bayaran balik yang dibuat segera akan mengurangkan jumlah kos upah yang perlu dibayar. Saya juga dapat gunakan wang lebihan untuk tujuan lain yang lebih produktif,”ujarnya.

RAHIMAH
RAHIMAH

Sementara itu bagi Rahimah Radzi, 26, insentif diskaun 20 peratus kepada yang ingin membuat pembayaran secara ‘lump sum’, memberi kelegaan kepada mereka ekoran dapat jimatkan kewangan.

“Nasihat saya kepada peminjam lain, jika tidak mampu buat pembayaran secara penuh atau separuh, boleh lakukan (bayaran) secara ‘direct debit’ mengikut kategori yang ditawarkan.

“Sementara tawaran masih dibuka, kita sebagai peminjam boleh memanfaatkan bantuan yang telah diberi kerajaan demi kesenangan di masa hadapan,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan Mohamed Asyraf Md Zan, 27. Beliau menyifatkan insentif pemberian diskaun perlu diteruskan sebagai usaha menarik lebih ramai peminjam membuat bayaran balik kepada agensi itu. Tambahan pula, kini dengan aplikasi myPTPTN boleh dibuat di mana-mana sahaja, cepat dan mudah. Semuanya hanya dihujung jari.

MOHAMED ASYRAF
MOHAMED ASYRAF

Katanya, tawaran sedia ada ini berjaya memberi galakkan kepada peminjam terutama kepada golongan anak muda untuk membuat bayaran secara konsisten.

“Secara peribadi, saya berpandangan usaha ini perlu diteruskan untuk satu tempoh yang lebih lama, mungkin sepanjang tahun. Sudah tentu lebih ramai peminjam tampil membuat bayaran.

“Bagi saya, pemberian diskaun ini secara tidak langsung telah memberi motivasi kepada diri saya untuk membuat bayaran pinjaman walaupun sedikit demi sedikit. Saya sarankan kepada peminjam lain untuk merebut peluang ini sebelum tamat tarikh tawaran.” ujarnya.