X

Kindly register in order to view this article
!

Mohd Hafarizam bebas tuduhan pengubahan wang haram RM15 juta

Datuk Mohd Hafarizam Harun - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penasihat Undang-Undang UMNO Datuk Mohd Hafarizam Harun dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan terbabit dalam pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Suzana Hussin memutuskan perkara itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadap Mohd Hafarizam.

Ketika memutuskan perkara itu, Suzana berkata, pendakwaan memaklumkan Mohd Hafarizam bersetuju untuk dikenakan kompaun RM590,587.26.

"Berdasarkan permohonan pihak pendakwaan dan kompaun yang telah dijelaskan dalam kes ini, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada ketiga-tiga pertuduhan. Wang jaminan (RM200,000) dipulangkan," kata hakim itu.

Ketika ditemui di luar mahkamah sejurus prosiding, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam berkata, mahkamah dimaklumkan oleh pendakwaan bahawa pertuduhan terhadap Mohd Hafarizam ditarik balik.

Ini kerana katanya, pihak pendakwaan menawarkan kompaun dan ia sudah dijelaskan pada Khamis.

“Disebabkan kompaun sudah dijelaskan maka pertuduhan baharu tidak boleh dikenakan terhadapnya.

“Maka pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah satu perintah supaya Mohd Hafarizam dilepas dan dibebas daripada ketiga-tiga pertuduhan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hafarizam berkata, selepas dibelenggu dengan pertuduhan ‘secara terpilih’ sejak dua tahun lalu, kini dia bersyukur kerana dibebaskan daripada kesemua pertuduhan tersebut.

“Setiap sen yang diterima daripada anak guam saya, dimasukkan ke akaun pelanggan firma guaman lama saya dan ia dikeluarkan kepada pihak ketiga, juga atas arahan anak guam dengan kapasiti saya sebagai pemegang amanah.

“Transaksi seperti ini adalah biasa bagi semua peguam cara dan ia adalah satu transaksi yang sah, tidak salah di sisi undang-undang, malah ramai lagi peguam membuat transaksi yang sama tapi tidak dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di luar mahkamah pada Jumaat.

Pada 3 Ogos 2020 lalu, Mohd Hafarizam dilepas tanpa dibebaskan atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff memberitahu mahkamah pihak pendakwaan memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan dan akan memfailkan pertuduhan baharu terhadap Mohd Hafarizam di Mahkamah Sesyen.

Tidak sampai sejam dilepas tanpa bebas, beliau dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram juga membabitkan nilai sama yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hafarizam, 49, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM7.5 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib bertarikh 16 April 2014, yang dimasukkan ke dalam akaun firma guamannya, Tetuan Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak.

Peguam yang juga penasihat undang-undang UMNO yang mewakili Najib dalam beberapa kes saman sivilnya didakwa melakukan perbuatan tersebut di CIMB Bank Berhad, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail di sini, pada 17 April 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd Hafarizam didakwa menerima wang berjumlah RM4 juta dan RM3.5 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib bertarikh 7 November 2014 dan 21 Januari 2015 yang dimasukkan ke dalam akaun firma guaman sama.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 12 November 2014 dan 12 Februari 2015 di tempat sama, mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!