Anggaplah semua orang positif Covid-19

Kita perlu didik diri sendiri dan ahli keluarga masing-masing, seolah-olah semua orang adalah pembawa virus Covid-19, semua orang positif Covid-19. Gambar hiasan
Kita perlu didik diri sendiri dan ahli keluarga masing-masing, seolah-olah semua orang adalah pembawa virus Covid-19, semua orang positif Covid-19. Gambar hiasan
A
A
A

SEJAK bulan Mac 2020 lagi saya mengikuti kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai pandemik Covid-19.

Jika hendak dikumpul dari hari pertama beliau mengangkat sumpah sehingga hari ini, mungkin sudah boleh mencipta sebuah buku khusus untuk siri nasihat beliau kepada rakyat Malaysia.

Bukan beliau sahaja, Menteri Kanan Keselamatan ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga hampir setiap hari mengingatkan kita mengenai pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan menjaga diri setiap kali keluar rumah.

Daripada menteri tanpa gelaran sehingga disapa sebagai ‘Pak Long Mail’ sepanjang menangani pandemik Covid-19. Daripada seorang Menteri Kanan, kini Ismail Sabri merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga selalu menasihati rakyat Malaysia agar sentiasa ‘Lindung Diri, Lindung Semua’. Daripada seorang pemimpin muda yang dilihat begitu santai sehingga menjadi pemimpin muda yang serius dan semakin fokus.

Namun, cita-cita kita untuk melandaikan lengkung (flattened the curve) kes pandemik Covid-19 masih tak menjadi-jadi. Golongan yang suka menuding jari kepada orang lain akan terus menganggap dia sahaja yang betul, sebaliknya orang lain dipersalahkan sebagai punca kes masih tinggi setiap hari.

Selagi mana dalam fikiran kita bersarang dengan sentimen begitu, negara kita akan terus hanyut ketinggalan. Tak mustahil Malaysia menjadi antara negara terakhir yang keluar daripada kemelut pandemik Covid-19.

Sepatutnya kita perlu ‘kibarkan bendera putih’ sebagai tanda surrender terhadap sikap sering menyalahkan orang lain. Untuk berjaya dalam siri perjuangan melawan musuh tak nampak ini, tak lain dan tak bukan – semua orang wajib memainkan peranan sendiri.

Artikel Berkaitan:

Bak kata pepatah Melayu ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’. Walaupun seorang diri berusaha untuk putuskan rantaian jangkitan, lama kelamaan ia akan menyumbang kepada sebuah kejayaan terbesar di negara. Janganlah anggap usaha kecil kita tidak bernilai dan berkesan.

Berbahaya

Cuba kita lekatkan pada fikiran masing-masing tentang bahaya virus Covid-19 dan cara sebarannya yang semakin bertambah mudah serta berbahaya.

Kita perlu didik diri sendiri dan ahli keluarga masing-masing, seolah-olah semua orang adalah pembawa virus Covid-19, semua orang positif Covid-19.

Jika sentimen sebegitu dapat dipupuk, automatiknya kita akan lebih berjaga-jaga mengamalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka (wear) dan cakna terhadap amaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (warn).

Kita juga akan elak daripada 3C iaitu menjauhi kawasan yang sesak (crowded place), mengelak kawasan yang sempit (confined space) dan mengelak sembang dengan jarak yang dekat (close conversation).

Tak perlu ditakut-takutkan dengan jumlah kompaun yang tinggi pun, kita sendiri akan menjaga jarak sekurang-kurangnya satu meter, mengimbas kod bar MySejahtera atau mendaftar di buku pada premis dan mengimbas suhu badan ketika mahu masuk ke dalam apa juga jenis premis.

Petuanya terletak pada diri kita sendiri sebenarnya. Kesedaran kita mengawal diri dalam usaha mengurangkan kadar risiko jangkitan virus yang tidak kelihatan.

* Sarfarizmal Md Saad ialah Pemimpin Kelab Belia Inspirasi Malaysia