PRK Kuala Kubu Baharu: Persaingan sengit PH, PN

Khairul Azhari (kiri) dan Sock Tao (kanan).
Khairul Azhari (kiri) dan Sock Tao (kanan).
A
A
A

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu dijangka berlaku persaingan sengit memandangkan kedua-dua parti besar sama ada Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH) mempunyai strategi tersendiri dalam pemilihan calon bagi menarik sokongan pengundi.

Seperti yang diketahui umum, mana-mana pilihan raya sudah pasti pemilihan calon memainkan peranan terbesar dalam menentukan siapa akan menang dan siapa yang kalah untuk kawasan dipertandingkan.

Pada Khamis, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon PN bagi PRK KKB.

Khairul Azhari, 54, yang juga anak tempatan merupakan seorang ahli perniagaan dan pernah menggalas tugas sebagai Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor.

Keputusan PN memilih anak tempatan dan Melayu adalah salah satu usaha untuk memenangi PRK KKB sekali gus merampas kerusi yang dahulunya disandang oleh ahli DAP.

Mungkin akan ada peningkatan dari segi pengundian kaum Melayu di kawasan tersebut.

Sementara itu, langkah DAP menamakan calon Cina pada PRK KKB sudah dijangka memandangkan Dewan Undangan Negeri itu sememangnya kerusi tradisi mereka.

Sebelum ini terdapat desas-desus mengatakan DAP berkemungkinan meletakkan calon Melayu pada PRK KKB akhirnya terjawab apabila DAP menamakan Pang Sock Tao yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebagai calon Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan majoriti pengundi di KKB mahukan calon Melayu di kawasan itu memberi cabaran hebat kepada PH apatah lagi kini hangat pelbagai polemik perkauman dan agama.

Bagaimanapun, jangan dilupakan bahawa kawasan tersebut sebelum ini dimenangi oleh DAP dan sudah tentu parti itu mempunyai penyokong tegar apatah lagi Barisan Nasional kini menjadi sebahagian daripada PH, mungkin ada penambahan undi.

Kesimpulannya, kedua-dua parti itu mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing dalam menyusun strategi mereka bagi memenangi PRK KKB.

Siapa pun yang menang nanti, diharapkan rakyat menjadi keutamaan mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!