Dua beradik lelaki maut Covid-19 dalam tempoh lima hari

Seorang kakitangan LZS menyampaikan bantuan makanan ringan kepada ibu tunggal empat anak yang kematian suami akibat Covid-19 pada Rabu.
Seorang kakitangan LZS menyampaikan bantuan makanan ringan kepada ibu tunggal empat anak yang kematian suami akibat Covid-19 pada Rabu.
A
A
A
SHAH ALAM - Hanya dalam tempoh lima hari dua beradik lelaki meninggal dunia akibat positif Covid-19.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui kenyataan di Facebook pada Rabu memaklumkan kejadian berlaku apabila arwah adik yang positif Covid-19 terlebih dahulu menemui Ilahi selepas dua hari perayaan Aidiladha.

"Susulan kematian lelaki itu, kontak rapat kepada arwah diminta membuat ujian calitan dan mendapati semua penghuni rumah itu positif Covid-19," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memberitahu, abang kepada lelaki terbabit kemudian dimasukkan ke Hospital Shah Alam (HSA) manakala ibu mereka pula dikejarkan ke Hospital Kajang berikutan wad di HSA telah penuh.

"Sementara itu, isteri abangnya bersama empat orang anak yang lain menjalani kuarantin di rumah," katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu memaklumkan, isteri abang lelaki itu menerima khabar duka apabila suaminya disahkan meninggal dunia di HSA pada Selasa lalu.

"Isteri yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang pasrah dan reda menerima takdir Ilahi.

"Kini si isteri terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga menjaga dan membesarkan empat anaknya yang masih bersekolah," jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, kenyataan itu memberitahu, LZS menyalurkan bantuan makanan kering kepada wanita terbabit pada Rabu.
Artikel Berkaitan:


Menurut kenyataan itu, hasil bancian melalui panggilan telefon, keluarga terbabit layak didaftarkan di bawah asnaf miskin LZS.

"Kami sedang memproses bantuan sewa rumah serta beberapa tunggakan bagi meringankan beban keluarga ini," katanya.