Muhyiddin, seluruh kabinet PN digesa letak jawatan

Akmal Nasrullah, Liew Chin Tong
Akmal Nasrullah, Liew Chin Tong
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh barisan kabinet Perikatan Nasional (PN) digesa bertangunggjawab terhadap tindakan membelakangi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan meletakkan jawatan serta-merta.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tindakan kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan Seri Paduka Baginda merupakan satu perbuatan pecah amanah dan jenayah yang bercanggah dengan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu AMK mendesak Perdana Menteri dan seluruh barisan kabinet PN mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan kerajaan memutuskan untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Dalam pada itu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut menyokong gesaan supaya Perdana Menteri dan seluruh barisan kabinet meletakkan jawatan dengan segera.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda berkata, perbuatan tersebut jelas menunjukkan kerajaan tidak menghormati, muflis dari segala kedudukan moral dan mandat untuk terus memerintah.

“Kita tidak boleh membenarkan Malaysia terjerumus menjadi sebuah negara autokratik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor, Liew Chin Tong berpandangan, tindakan berkenaan dilakukan berikutan kerajaan tahu mereka tidak dibenarkan untuk membuat pengundian di Parlimen kerana tidak mendapat suara majoriti.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang Seri Paduka Baginda telah bertitah. Kerajaan sekurang-kurangnya harus meminta Takiyuddin dan Idrus (Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun) memohon maaf kepada negara.

"Bukan sahaja minta maaf atas kegagalan dalam menangani pandemik Covid-19 tetapi juga kegagalan dalam menegakkan prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” katanya dalam ciapan di Twitter beliau pada Khamis.