Empat laluan tikus ke Padang Terap ditutup penghadang konkrit

Mulkiaman (kanan) bersama anggotanya memeriksa penghadang konkrit yang telah dipasang semula bersama rantai besi di Jalan Bukit Tembaga, Kuala Nerang pada Khamis.
Mulkiaman (kanan) bersama anggotanya memeriksa penghadang konkrit yang telah dipasang semula bersama rantai besi di Jalan Bukit Tembaga, Kuala Nerang pada Khamis.
A
A
A

KUALA NERANG - Empat laluan tikus untuk memasuki daerah Padang Terap ditutup dengan batu konkrit mulai 19 Julai lalu bagi mengekang kemasukan penduduk luar yang tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri dan daerah.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, tindakan itu susulan aduan penduduk yang mendapati ramai pemandu menggunakan laluan itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, tindakan berkenaan mengakibatkan penularan Covid-19 kembali berlaku apabila status daerah Padang Terap yang hijau kini kembali menjadi merah.

"Kita telah bekerjasama dengan Pejabat Daerah Padang Terap dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Padang Terap untuk menutup tiga laluan di iaitu dua di Jalan Bukit Tembaga dan satu di Jalan Perik sebelum sambutan hari raya Aidiladha.

"Bagaimanapun kami kesal apabila batu konkrit di satu Jalan Bukit Tembaga, Kuala Nerang yang menuju ke daerah Pokok Sena telah dialih individu tidak bertanggungjawab beberapa hari lalu sebelum pihak berkuasa menutup semula," katanya pada sidang akhbar semasa turun membuat tinjauan sekatan jalan raya di Kuala Nerang pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mulkiaman berkata, mereka yang menggunakan laluan tikus itu datang dari daerah Pokok Sena dan Kubang Pasu kebanyakannya tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri dan daerah.

Sementara itu Mulkiaman turut memaklumkan, seorang lelaki berusia 48 tahun dari daerah Kubang Pasu ditahan di laluan Jalan Bukit Tembaga atas kesalahan cubaan merentas daerah tanpa kebenaran polis.

"Lelaki tersebut memberi alasan untuk ke rumah kawannya namun apabila pemeriksaan dilakukan mendapati dia hanya mempunyai surat kebenaran yang lama sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Dia telah dikompaun sebanyak RM5,000 di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (1988) dan Peraturan 17 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ)," ujarnya.