Gara-gara keropok lekor, anak ugut tikam ayah

Tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap bapanya ketika didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Bengang ditegur kerana menghabiskan kesemua keropok lekor dibeli, seorang remaja tergamak mengugut mahu membunuh ayahnya dengan menggunakan sebilah pisau.

Tertuduh, Wan Adib Fawwaz Wan Mohd Fauzi, 19, mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan ugutan jenayah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai tukang gunting didakwa mengacukan pisau ke arah bapanya, Wan Mohd Fauzi Wan Yusof, 46, sebelum mengugut mahu menikam mangsa di sebuah rumah di Kampung Tebauk, di sini, kira-kira jam 10 malam, pada 20 Februari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Asri Abu Hashim di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia