Anak mula cakap seberang gara-gara YouTube

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SATU petang di hari minggu, Merak Jalanan bawa semua anak ke sebuah taman permainan berhampiran kawasan kediaman.

Di sana, anak-anak bertemu dengan rakan sekolah dan mereka mula berkumpul dan bermain permainan Datuk Harimau.

Merak Jalanan hanya memerhatikan sahaja gelagat mereka sambil sekali-sekala membelek telefon bimbit.

Tak semena-mena, Merak Jalanan terdengar suara si bongsu menjerit perkataan kabur. Merak Jalanan ingatkan matanya dimasuki pasir, rupanya perkataan kabur itu dalam bahasa Indonesia bermaksud lari atau melarikan diri.

Ini bukan kali pertama anak-anak menggunakan bahasa seberang ketika berkomunikasi dan situasi ini turut berlaku pada keluarga lain.

Buktinya, beberapa jiran Merak Jalanan mengakui anak-anak mereka turut menyelitkan perkataan dari seberang ketika berkomunikasi.

Sebagai contoh, Ali memberitahu anaknya memanggil kasut sebagai sepatu. Bidin pula hanya menggelengkan kepala apabila memberitahu anaknya memanggil ketam sebagai kepiting.

Kedua-dua Ali dan Bidin mengakui anak-anak mereka mula memahami dan terikut-ikut dengan gaya percakapan negara jiran selepas kerap menonton kandungan YouTube dari Indonesia.

Bagi mengelak situasi menjadi teruk, Merak Jalanan terpaksa bersikap diktator dan tidak boleh lagi berlembut setiap kali anak-anak mahu melayari saluran YouTube kegemaran mereka.

Merak Jalanan mengambil pendekatan mengehadkan tempoh penggunaan telefon bimbit serta hanya membenarkan akan-anak menonton saluran YouTube secara berjadual dan mengikut giliran selama satu atau dua jam sahaja.

Bukannya apa, Merak Jalanan bimbang anak-anak menggunakan frasa dari seberang ketika menulis karangan atau menjawab soalan peperiksaan.

Tak pasal-pasal nanti berlaku situasi lost in translation dan akhirnya dapat markah kosong.