MBJB keluar 5,759 kompaun sejak awal tahun lalu

Amran (dua,kanan) ketika berucap pada sidang media hari ini.
Amran (dua,kanan) ketika berucap pada sidang media hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 5,759 kompaun melibatkan pelbagai kesalahan telah dikeluarkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sejak awal tahun lalu.

Datuk Bandar MBJB, Datuk Amran A Rahman berkata, antara kesalahan itu adalah melibatkan halangan kenderaan, menjalankan perniagaan atau menjaja tanpa lesen serta melakukan pengubahsuaian tanpa permit.

"Unit Trafik Jabatan Penguatkuasaan pula mengeluarkan sebanyak 4,612 kompaun atas pelbagai kesalahan.

"MBJB juga mengambil tindakan penundaan atau pengalihan 774 kenderaan di sekitar bandar raya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MBJB, di sini, hari ini.

Amran berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 63 kenderaan dalam keadaan buruk dan 92 kenderaan yang telah ditunda didapati masih belum dituntut.

Beliau berkata, kompaun dikeluarkan merangkumi kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MBJB 1981, Undang-undang Kecil Mengkompaun Kesalahan MBJB 1981 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

Dalam perkembangan sama, katanya, Jabatan Penguatkuasaan MBJB sedang giat menjalankan operasi yang mana terbaharu sebanyak 2,919 iklan ceti haram telah diturunkan.

“Kewujudan iklan ini bukan saja mencemari sesuatu kawasan malah ia juga boleh menimbulkan gangguan kepada pengguna jalan raya. Hasil pemantauan dan aduan ramai, MBJB telah mengambil tindakan menurunkan iklan ceti haram.

Artikel Berkaitan:

"Iklan berkenaan diturunkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen iklan, tidak mempunyai permit kebenaran menggantung serta meletakkan iklan di laluan dan tempat tidak dibenarkan," katanya.

Tambahnya, selain iklan ceti haram, MBJB turut menurunkan sebanyak 426 iklan bunting, 140 sepanduk, 40 papan iklan dan 961 iklan pelbagai yang tidak mempunyai lesen.