'Kami sudah sedia'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia tidak mempunyai pilihan selain terpaksa bersedia untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan negara bakal berdepan peningkatan bilangan kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh terdekat.

Seorang penulis kandungan media sosial, Danishah Dalily Akmal Shahian, 24, berkata, beliau bersedia untuk menghadapi situasi tersebut kerana sudah melengkapkan dua dos vaksin pada Julai.

DANISHAH DALILY
DANISHAH DALILY

"Vaksin yang berfungsi sebagai perlindungan diri membuat saya berasa lebih selamat untuk keluar rumah membeli barang keperluan ataupun menyelesaikan urusan lain dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Saya berharap negara akan mencapai imuniti kelompok tidak lama lagi supaya setiap rakyat tidak lagi risau menjangkiti atau dijangkiti wabak ini dari orang lain tanpa sedar," katanya.

Bagi pegawai keselamatan, Muhammad Fariq K K Kamarol Ariffin, 27, meskipun kes jangkitan dijangka meningkat, namun beliau percaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan sewajarnya.

MUHAMMAD FARIQ
MUHAMMAD FARIQ

Ujarnya, rakyat meletakkan keyakinan tinggi terhadap KKM tetapi ia memerlukan kerjasama rakyat dalam mengurangkan penularan.

Artikel Berkaitan:

“Jika KKM bersedia untuk berdepan peningkatan kes dengan langkah-langkah proaktif, maka saya sebagai rakyat akan turut sama memberi sokongan,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Nur Syazreena Hanzah, 30, berkata, kerajaan mempunyai perancangan rapi dengan pelan tertentu bagi menangani pandemik Covid-19 yang ketika ini masih menular di seluruh dunia.

NUR SYAZREENA
NUR SYAZREENA

"Justeru sebagai rakyat kita juga perlu sentiasa patuh dan mengikuti segala SOP yang diberikan oleh pihak kerajaan serta percaya akan kebolehan kerajaan untuk menangani krisis ini," katanya.

Menurut pengurus media sosial, Hidayath Hisham, 24, situasi peningkatan kes pada masa ini berbeza berbanding permulaan pandemik itu berlaku.

HIDAYATH
HIDAYATH

Ujarnya, dengan fasiliti yang baik disediakan oleh pelbagai pihak, beliau juga bersedia untuk menghadapi peningkatan kes covid-19.

"Saya lihat sekarang sudah banyak kemudahan disediakan berbanding di awal pandemik yang lalu di mana ia terbatas.

"Jadi saya rasa mampu untuk bertahan dan meneruskan kelangsungan hidup seperti biasa sambil menunggu untuk kita mencapai imuniti kelompok," katanya.

Seorang eksekutif sumber manusia dari Shah Alam, Hilmi Qusyairi Hamidi, 28, berkata, dengan peningkatan drastik pemberian vaksin di Lembah Klang, ia dilihat dapat mempersiapkan penduduk Klang dengan kemungkinan peningkatan kes Covid-19.

HILMI QISYAIRI
HILMI QISYAIRI

Bagaimanapun, beliau berpandangan kerajaan perlu bertindak lebih proaktif dalam menangani wabak melalui beberapa inisiatif lain antaranya seperti memperbanyakkan pusat pemberian vaksin dan meningkatkan kapasiti saringan bagi tujuan pengasingan individu positif Covid-19.

“Kita kena terima yang kita semua sedang hidup bersama Covid-19,” jelasnya.

Sementara itu, seorang Jurutera keselamatan dan persekitaran dari Klang, Muhammad Tarmizi Ahamad, 24 berkata, dengan mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19, amalan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 perlu ditingkatkan terutamanya di tempat kerja.

MUHAMMAD TARMIZI
MUHAMMAD TARMIZI

Menurutnya, risiko untuk dijangkiti Covid-19 masih ada memandangkan pekerjaannya yang memerlukan kehadiran secara fizikal di tempat kerja di samping kadar vaksinasi di Lembah Klang yang masih belum mencapai imuniti kelompok yang disasarkan.

“Secara peribadi, fokus utama saya dalam menghadapi wabak Covid-19 ni penjagaan kesihatan diri melalui pematuhan SOP kendiri. Vaksinasi masih perlu dipercepatkan dan bekalan perlu sentiasa mencukupi.

“Rakan kerja saya juga ada yang dijangkiti covid19 walaupun sudah pun melengkapkan walaupun hanya berada di kategori tidak bergejala,” ujarnya.