Kenaikan aras laut bukan lagi ancaman masa depan, tetapi realiti masa kini - Mohamad Hasan

Mohamad (kiri) menyampaikan intervensi Malaysia pada Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Menteri-Menteri Luar OIC di Bilik Persidangan 3, Ibu Pejabat PBB pada Jumaat. Foto: Bernama
Mohamad (kiri) menyampaikan intervensi Malaysia pada Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Menteri-Menteri Luar OIC di Bilik Persidangan 3, Ibu Pejabat PBB pada Jumaat. Foto: Bernama
A
A
A

NEW YORK - Kesan kenaikan aras laut kini semakin dirasai di pulau-pulau dan kawasan pesisir, menjadikannya ancaman semasa dan bukan lagi kebimbangan masa depan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ketika menyampaikan intervensi pada Mesyuarat Pleno Peringkat Tinggi mengenai Menangani Ancaman Kewujudan Akibat Kenaikan Aras Laut di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini pada Khamis, Mohamad berkata, Malaysia sebagai sebuah negara maritim melihat kenaikan aras laut sebagai cabaran pembangunan dan daya tahan yang semakin meningkat.

Beliau berkata, unjuran iklim menunjukkan aras laut di sepanjang pesisir Malaysia boleh meningkat sehingga 0.74 meter menjelang 2100.

"Risiko ini memberi implikasi langsung terhadap keselamatan pertanian, air dan infrastruktur kita,” kata beliau. 

Mohamad berkata, masyarakat di pesisir juga semakin terdedah kepada banjir, hakisan dan kemasukan air masin.

Beliau turut mengalu-alukan penekanan Deklarasi itu terhadap sains, data dan kesediaan, sambil berkata pemerhatian berterusan serta pemantauan pesisir  untuk jangka panjang penting bagi memperkukuh penilaian risiko, sistem amaran awal dan perancangan penyesuaian.

Beliau berkata Malaysia sedang memperkukuh usaha penyesuaian nasional menerusi Nationally Determined Contribution 3.0 (NDC 3.0) serta pembangunan Pelan Adaptasi Kebangsaan.

Bagaimanapun, Mohamad menegaskan bahawa negara membangun seperti Malaysia tidak mampu menangani cabaran ini secara bersendirian.

"Usaha penyesuaian yang lebih bercita-cita tinggi perlu disokong dengan kaedah pelaksanaan yang mencukupi,” kata beliau sambil menekankan kepentingan negara maju memenuhi komitmen mereka untuk menyediakan pembiayaan iklim, pemindahan teknologi dan sokongan pembangunan kapasiti.

Artikel Berkaitan:

Mohamad kini berada di New York dari 23 hingga 27 Sept bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). - Bernama 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!