Hari ketiga mesyuarat khas lebih tenang, tumpu isu vaksinasi

Khairy Jamaluddin membentangkan penerangan berkaitan program vaksinasi negara pada hari ketiga Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Rabu.
Khairy Jamaluddin membentangkan penerangan berkaitan program vaksinasi negara pada hari ketiga Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kadar vaksinasi dan proses rundingan serta perolehan vaksin Covid-19 merupakan antara isu yang dibangkitkan kebanyakan ahli Parlimen pada perbahasan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Rabu.

Memasuki hari ketiga, perjalanan persidangan lebih tenang berbanding hari sebelumnya dengan 23 ahli Parlimen yang terdiri daripada 10 daripada pihak kerajaan, 11 pembangkang dan dua Bebas mengambil bahagian pada sesi perbahasan.

Terdahulu, Sidang Khas dimulakan dengan penerangan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin yang berkata, program imunisasi terbesar negara itu setakat ini menyaksikan peratusan penduduk Malaysia yang menerima vaksin bagi sekurang-kurangnya satu dos mengatasi beberapa negara maju seperti Jepun, Australia, Korea Selatan dan New Zealand.

Kebanyakan ahli Parlimen turut memuji langkah kerajaan mempertingkat kadar vaksinasi sehingga lebih 500,000 dos suntikan sehari kini namun mempersoal kelewatan negara mendapatkan perolehan vaksin berbanding negara lain.

Antaranya Yeo Bee Yin (PH-Bakri) yang berkata, angka kematian akibat Covid-19 turut meningkat meskipun kadar vaksinasi adalah tinggi.

"Kita perlu tahu sejak Mei hingga hari ini, lebih 6,500 orang telah meninggal dunia dan antaranya lebih 5,500 adalah golongan komorbiditi, ada yang telah daftar untuk vaksin tetapi mereka dijangkiti Covid-19 dan meninggal (dunia) sebelum disuntik vaksin,” katanya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Bharu) pula mahu negara menumpukan kepada usaha vaksinasi Covid-19 jangka panjang selain memastikan Malaysia didahulukan bagi mendapatkan vaksin daripada pihak pengeluar sekiranya terdapat ancaman varian baharu.

"Sekali kita berurusan dengan pengeluar vaksin, kita kena ada klausa bahawa jika ada berlakunya ancaman varian baharu dan pengeluar vaksin melakukan penambahbaikan inovatif, kita yang pernah ambil dengan dia, didahulukan... saya difahamkan kita ada klausa tu dengan Pfizer sahaja, dengan lima lain tak ada, itu jangan terlepas pandang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) pula membangkitkan isu vaksinasi dalam ekosistem pendidikan termasuk kepada warga pendidik, kakitangan sekolah serta pelajar dan mencadangkan agar suntikan vaksin diberikan di sekolah tanpa memerlukan mereka hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) turut meminta agar fasiliti di PPV ditambah baik manakala cadangan ‘suntik dahulu, daftar kemudian’ yang perlu diperluas ke kawasan pedalaman atau yang tiada akses Internet dikemukakan oleh Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) dan Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong (GPS-Hulu Rajang).

Khairy semasa penggulungan, antara lain berkata, rundingan dengan syarikat pengeluar vaksin terutama Pfizer telah bermula untuk Malaysia memuktamadkan perolehan vaksin bagi tahun 2022 khususnya suntikan booster dan vaksin kanak-kanak.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengambilan vaksin kerana program kesihatan awam di Malaysia adalah bersifat sukarela.

“Semua vaksinasi adalah secara sukarela di Malaysia dan kita tidak mahu sampai paksa orang dengan undang-undang untuk terima vaksin. Apa kita harap untuk tingkatkan jumlah pendaftaran adalah kebebasan atau pun kemudahan yang akan diberikan kepada mereka yang lengkap vaksinasi, ini akan diumumkan Perdana Menteri,” katanya.

Minit-minit terakhir sesi penggulungan bagaimanapun sedikit riuh apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang bangun meminta masa persidangan dilanjutkan antaranya Hannah Yeoh (PH-Segambut), Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) dan Datuk Ngee Khoo Ham (PH-Beruas).

Rata-rata mereka menyuarakan rasa puas hati dengan masa yang terhad kerana perkara berkaitan vaksin adalah penting dan menteri bersedia untuk memberi penjelasan serta menjawab semua persoalan yang dibangkitkan ahli Parlimen.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meminta mereka duduk dan membenarkan Khairy meneruskan penggulungannya.

"Tolong diam sekejap boleh tak? Mana kuasa saya nak sambung masa ni? Saya kata (peraturan mesyuarat) 37(2) saya boleh tak bagi siapa pun mencelah sebab nak habiskan urusan tapi mencelah juga... kemudian kata saya tak bagi masa," katanya sambil meminta Khairy mengemukakan jawapan secara bertulis dalam tempoh 10 hari bekerja memandangkan masa penggulungan sudah tamat. - Bernama