X

Kindly register in order to view this article
!

Prestasi dagangan Malaysia meningkat 29.3 peratus kepada RM188.7 bilion

Mohamed Azmin - Foto Bernama
A
A

PRESTASI perdagangan Malaysia mengekalkan momentum kenaikan pada Jun 2021 dengan jumlah perdagangan meningkat 29.3 peratus kepada RM188.7 bilion berbanding Jun 2020, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menteri kanan merangkap menteri MITI Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, eksport merekodkan peningkatan tahun ke tahun 10 bulan berturut-turut sejak September 2020, mencatatkan pertumbuhan kukuh 27.2 peratus kepada RM105.47 bilion.

“Ini merupakan kali ketiga nilai eksport melebihi RM100 bilion direkodkan. Import naik 32.1 peratus kepada RM83.23 bilion dan lebihan dagangan berkembang 11.7 peratus kepada RM22.24 bilion.

“Perdagangan, eksport dan import merekodkan nilai bulanan kedua tertinggi setakat ini selepas April 2021. Ini juga merupakan nilai bulanan tertinggi dicatatkan bagi Jun dan pertumbuhan dua digit bagi lima bulan berturut-turut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Mohamed Azmin, pertumbuhan eksport disumbangkan oleh permintaan yang kukuh bagi keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E) khasnya litar bersepadu elektronik yang digunakan dalam pengeluaran telefon pintar, kereta, komputer dan kelengkapan rumah serta keluaran getah.

“Eksport ke kesemua pasaran utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit.

“Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing meningkat sebanyak 10.4 peratus, 14.3 peratus, 5.9 peratus dan 61.7 peratus,” katanya.

Jumlah perdagangan bagi suku kedua 2021 meningkat 39 peratus kepada RM550.4 bilion berbanding suku kedua 2020, manakala eksport melonjak 44 peratus kepada RM303.37 bilion dan import meningkat 33.3 peratus kepada RM247.02 bilion.

“Ini merupakan nilai suku tahunan yang tertinggi pernah dicatatkan bagi perdagangan, eksport dan import setakat ini. Lebihan dagangan sebanyak RM56.35 bilion direkodkan pada tempoh ini, melonjak 122.7 peratus.

“Berbanding suku pertama 2021, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang 8.8 peratus, 7.5 peratus dan 10.5 peratus manakala lebihan dagangan menyusut 4.0 peratus,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, jumlah perdagangan Malaysia telah melepasi RM1 trilion dalam masa enam bulan, tempoh tersingkat pernah dicatatkan bagi mencapai tanda aras ini.

“Bagi separuh pertama 2021, jumlah perdagangan bernilai RM1.056 trilion, berkembang 26 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Eksport naik 30.2 peratus kepada RM585.56 bilion dan import meningkat 21.1 peratus kepada RM470.53 bilion.

“Ini merupakan nilai separuh tahun yang tertinggi direkodkan bagi perdagangan, eksport dan import. Lebihan dagangan melonjak 87.7 peratus kepada RM115.04 bilion,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!