X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas ketua penolong pegawai daerah didakwa terima rasuah

Tertuduh (kanan) ketika di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang bekas ketua penolong pegawai daerah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menerima rasuah RM10,000 pada Oktober lalu.

Tertuduh, Nazri Izuddin Madon, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Nazri Izuddin didakwa memperoleh secara rasuah untuk dirinya wang tunai berjumlah RM10,000 daripada seorang individu.

Ia dibuat sebagai dorongan bagi tertuduh untuk melantik syarikat tertentu melaksanakan kerja projek bantuan rumah negeri Johor dan projek kerja kecil dalam daerah Segamat bagi tahun 2020.

Perbuatan didakwa dilakukan di Pejabat Daerah Segamat kira-kira jam 2.45 petang pada 19 Oktober lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor setiap bulan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Abdul Rahim Ali memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM7,000 berikutan tertuduh menanggung dua anak yang salah seorang daripadanya mempunyai penyakit ekzema.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Johor setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 16 Ogos depan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!