Pegawai maritim mengaku terima rasuah dari pemilik bot

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaku bersalah atas lima pertuduhan menerima rasuah daripada pemilik bot di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini pada Jumaat.

Tertuduh, Kamarulnizam Mohd Din, 49, didakwa melakukan kesalahan itu di antara tahun 2017 sehingga tahun 2021 semasa bertugas sebagai pegawai di Maritim Zon Maritim Kuala Perlis.

Mengikut pertuduhan, dia telah menerima rasuah daripada pemilik-pemilik bot dan runner di sekitar negeri Kedah dan Perlis dengan nilai keseluruhan RM8,000 sebagai balasan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Perbuatan tertuduh itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kamarulnizam kemudiannya membuat pengakuan bersalah atas kesemua pertuduhan yang dikenakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda sebanyak RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dan enam bulan penjara jika gagal melunaskan denda tersebut, bagaimanapun tertuduh membayar denda berkenan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.