X

Kindly register in order to view this article
!

Keluarga Altantuya patut diberi akses kenyataan kepada polis

Bapa Altantuya, Dr Shariibuu Setev. Gambar kecil: Altantuya
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini bahawa keluarga wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang dibunuh pada 2006 patut dibenarkan untuk memperoleh kenyataan yang dirakamkan daripada individu disiasat polis berkaitan kes itu untuk digunakan dalam saman sivil mereka.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, isterinya dan cucu mereka berhujah bahawa pendedahan dokumen yang dimohon keluarga itu adalah bagi mendapatkan hak mereka ekoran kematian Altantuya.

Beliau berkata, dokumen itu berkaitan dengan satu siasatan yang perbicaraan jenayah terbabit sudah selesai sambil menambah tiada kemungkinan pengacauan saksi.

Katanya, kenyataan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah yang diperlukan keluarga itu bukannya dokumen yang dilindungi.

Sangeet berhujah Hakim Mahkamah Tinggi terkilaf ketika memutuskan kenyataan yang dimohon oleh keluarga Altantuya dilindungi di bawah Seksyen 124 Akta Keterangan 1950 dan keyakinan umum dalam agensi penyiasatan akan terjejas jika pendedahan sedemikian dibenarkan.

Dalam prosiding pada Isnin yang berlangsung secara dalam talian, panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, Datuk Supang Lian dan Datuk Seri Mariana Yahya mendengar rayuan keluarga Altantuya.

Peguam Kanan Persekutuan Lim Yu Vynn sebelum itu berhujah bahawa perayu (keluarga Altantuya) tidak menunjukkan kaitan yang memerlukan dokumen berkenaan didedahkan di dalam saman berkenaan.

Beliau berkata, dokumen yang dimohon perayu adalah terlalu umum dan luas sambil menambah mereka patut memperincikan kenyataan individu mana yang diperlukan.

Selepas mendengar hujahan Sangeet Kaur dan Yu Vynn yang mewakili kerajaan, panel hakim menangguhkan keputusan ke atas rayuan itu kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan.

“Kami memerlukan masa untuk memikirkan hujahan dan undang-undang kes baharu yang dihantar," kata Hakim Nor Bee sambil menambah mahkamah akan memaklumkan pihak berkaitan mengenai tarikh keputusan.

Keluarga Altantuya - Shaariibuu, Altantsetseg Sanjaa dan cucu mereka Mungunshagai Bayarjargal -- merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kenyataan mereka yang dirakam oleh polis dalam siasatan kes jenayah untuk digunakan dalam saman sivil.

Mereka memfailkan saman sivil RM100 juta terhadap dua bekas polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia pada 4 Jun 2007 untuk menuntut ganti rugi tauladan dan teruk.

Dalam penyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi yang melayakkan mereka menerima ganti rugi teladan dan teruk.

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya, 28, pada 2006 namun beliau telah dibebaskan daripada pertuduhan pada Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri manakala Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada pertuduhan namun keputusan itu telah diubah oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 susulan rayuan pendakwaan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!