X

Kindly register in order to view this article
!

Maritim rampas 67 set bubu naga

Anggota Maritim Malaysia mengangkat bubu naga yang ditemui dipasang berhampiran Pulau Gedung pada Ahad.
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas 67 set bubu naga di lima lokasi dalam perairan negeri ini pada Ahad.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, rampasan dibuat pihaknya menerusi Op Benteng Laut dan Op Pertiwi di sekitar 1.0 batu nautika Timur Laut Pulau Gedung antara jam 5.10 hingga 6.30 petang Ahad.

Menurutnya, kesemua bubu naga terbabit dikesan selepas anggotanya mendapati terdapat objek pelampung yang mencurigakan di permukaan air.

"Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

"Pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

"Mereka yang bertanggungjawab terhadap bubu naga itu boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika disabit kesalahan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Bubu naga yang dirampas di lima lokasi dalam perairan negeri Pulau Pinang pada Ahad.
Bubu naga yang dirampas di lima lokasi dalam perairan negeri Pulau Pinang pada Ahad.

Abd Razak berkata, kesemua set bubu naga yang dianggar bernilai RM8,000 itu dirampas sebelum dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukkan.

"Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari masa ke semasa dan meminta kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes yang berlaku di perairan negeri ini," katanya.

Orang ramai yang mempunyai laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!