1,000 'mata-mata' pantau jualan telur penyu dalam talian

Trend menjual telur penyu secara dalam talian semakin meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lepas. (Gambar hiasan)
Trend menjual telur penyu secara dalam talian semakin meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lepas. (Gambar hiasan)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Trend jualan telur penyu secara dalam talian yang dikesan semakin meningkat sejak Mei 2020 mendorong sekumpulan aktivis menubuhkan 'cyber trooper' di laman media sosial dikenali sebagai 'Turtle Watch Malaysia'.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli yang merupakan seorang daripada aktivis itu berkata, penubuhan kumpulan pemantau tersebut membolehkan mereka menerima banyak perkongsian maklumat orang awam yang prihatin mengenai aktiviti penjualan telur penyu dalam talian.

Beliau berkata, ketika ini Turtle Watch Malaysia sudah berjaya mengumpul hampir 1,000 orang yang menjadi 'mata-mata' kepada aktiviti jualan telur penyu dalam talian dan semua aktiviti itu telah dilaporkan kepada Jabatan Perikanan untuk siasatan lanjut.

"Kami turut menggalakkan netizen untuk sama-sama menegur penjual mahupun pembeli secara langsung. Jika ada yang berani menjual telur penyu secara terbuka, kita juga perlu berani menegur mereka secara terbuka dengan berhemah.

"Penjualan telur penyu secara terbuka dilihat seolah-olah tidak menghormati usaha konservasi penyu yang dilakukan pelbagai pihak ketika ini. Sudah sampai masanya kita perlu lebih vokal untuk menyuarakan matlamat konservasi kita kepada masyarakat supaya usaha ini tidak sia-sia," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Beliau berkata, trend menjual telur penyu secara dalam talian semakin meningkat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lepas, menyebabkan ramai peniaga beralih kepada kaedah jualan itu dan telur penyu yang ditempah boleh dihantar melalui pos ke seluruh negara.

"Aktiviti ini sangat bahaya kerana permintaan telur penyu meningkat secara mendadak. Hasil gesaan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada tahun lepas, kerajaan negeri Terengganu bersetuju untuk meminda enakmen penyu sedia ada supaya penjualan semua jenis telur penyu diharamkan.

"Namun proses menggubal enakmen baharu itu terbantut dan bergerak amat perlahan berikutan beberapa siri PKP dilaksanakan di seluruh negara. Ini menyebabkan peniaga telur penyu berasa seolah 'selamat' kerana tiada undang-undang boleh dikenakan terhadap mereka ketika ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Enakmen Penyu Terengganu 1951 (Pindaan 1987) sedia ada hanya melarang penjualan telur penyu belimbing sahaja namun ia sudah tidak relevan dengan situasi semasa kerana spesies itu sudah lama tidak mendarat di Terengganu.

Ditanya jumlah laporan yang diterima kumpulan pemantau itu, beliau berkata, pihaknya menerima aduan penjualan telur penyu dalam talian hampir setiap minggu.

"Namun, kami hanya memanjangkan laporan kepada Jabatan Perikanan jika telur penyu ini terbukti diambil dari sumber yang jelas dilarang seperti kawasan Taman Laut.

"Paling banyak yang pernah kami kesan ialah tawaran jualan 600 biji telur penyu dari Pulau Redang yang dianggarkan bernilai RM3,000. Selain itu ada aktiviti jualan yang menawarkan khidmat penghantaran ke beberapa daerah di Terengganu," katanya.

Beliau berkata, walaupun penjualan telur penyu di Terengganu telah lama wujud malah budaya makan telur penyu sudah sebati dengan masyarakat di sini, budaya lapuk yang tidak lestari itu perlu dihentikan segera.

"Ada yang kata apa salahnya makan telur penyu kerana ini rezeki anugerah tuhan. Saya katakan perbuatan mengkomersialkan telur penyu ini menyebabkan telur akan dipungut dengan jumlah yang banyak dan akhirnya kita akan gagal menghasilkan induk baharu.

"Kita perlu eram sebanyak mungkin telur buat masa ini kerana kita menghadapi masalah jumlah pemangsa yang tinggi iaitu hanya satu daripada 1,000 anak penyu dapat membesar dengan selamat ketika berada di laut," katanya.

Tambahnya, penjualan telur penyu itu juga perlu dihentikan segera oleh segenap lapisan masyarakat walaupun enakmen sedia ada belum digubal kerana ia hanya merugikan dari sudut ekonomi dan pelancongan Terengganu. - Bernama